MEXICO CITY: Pengadil Mexico, Fernando Hernandez digantung 12 perlawanan gara-gara menghentak pangkal paha pemain menggunakan lutut dalam perlawanan Liga MX antara Amerika dan Leon.
Hernandez melakukan kekasaran itu terhadap Lucas Romero, ketika pemain Leon tersebut dan rakan-rakan sepasukannya mengelilingi pegawai perlawanan dalam aksi yang berakhir 2-2 kelmarin.
Mereka menuntut Hernandez melakukan semakan video bantuan pengadil (VAR) mengenai gol penyamaan Amerika.
Situasi buruk itu turut menyaksikan jurulatih kedua-dua pasukan dibuang padang berikutan pergelutan yang menyebabkan baju pengendali Leon, Nicolas Larcamon koyak.
Enam kad kuning juga dilayangkan pada babak kedua dalam tempoh 10 minit.
Hukman berat yang dijatuhkan terhadap Hernandez memberi mesej kepada semua pengadil di Mexico agar berfikir dua kali sebelum menggunakan kaedah kekerasan untuk menangani pemain yang kuat membantah.
Selepas rakaman menunjukkan Hernandez menghentak pangkal paha Romero sambil dilayangkan kad kuning tersebar luas, pemain Leon itu menyifatkan insiden tersebut sebagai ‘salah faham’.
“Pengadil adalah manusia, banyak kali mereka boleh melakukan kesilapan.
“Kesilapan itu akhirnya membangkitkan apa yang berlaku, banyak salah faham dalam perlawanan,” katanya kepada penyiar Mexico, TUDN.
Hernandez kemudian tampil memohon maaf kepada Romero dan berkata, dia tidak akan menyerangnya atau mana-mana pemain lain.
Dia juga berjanji untuk menerima hukuman yang dijatuhkan oleh jawatankuasa disiplin liga dengan hati terbuka. – AGENSI