JOHOR BAHRU: Menjangkakan taktik ‘parking trak’ akan digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC sekali lagi, Johor Darul Ta’zim (JDT) sedia meningkatkan kepantasan serta intensiti permainan bagi melepasi roadblock lawan.
Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari sudah mengenal pasti cara untuk menutup ruang buat lawan melengahkan permainan seperti yang berlaku pada aksi aksi Piala FA, Jumaat lalu.
Katanya, walaupun menang 3-0 dalam perlawanan itu, pemainnya gagal beraksi di tahap sebenar setelah The Cops menghabiskan masa dengan melakukan konfrontasi dan berkampung di zon sendiri.
“Saya menjangkakan mereka akan mengulangi cara sama. Bertahan, bermain agresif dan memperlahankan permainan, jadi kita tidak boleh terikut-ikut rentak lawan.
“Kita perlu belajar daripada pengalaman lalu dengan menjadikan tempo permainan lebih laju selain meningkatkan tahap intensiti.
“Pemain juga perlu kawal emosi dan jangan terperangkap dengan helah mereka,” katanya.
Selepas mengharungi lapan perlawanan, JDT utuh di puncak Liga Super dengan mengumpul 24 mata.
Solari mungkin memberi peluang kepada lebih ramai pemain termasuk, bintang muda untuk beraksi.
Katanya, setakat ini pemain-pemain itu membalas kepercayaan dengan memberikan aksi yang terbaik.
“Kita ada ramai pemain dan mereka akan mendapat peluang beraksi,” katanya.