PETALING JAYA: Hari serba tidak menjadi buat pelumba Malaysia di Litar Jerez apabila pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli yang melengkapkan aksinya di kedudukan kelapan dikenakan penalti satu anak tangga ke belakang pada Perlumbaan 1, Red Bull MotoGP Rookies Cup semalam.
Pelumba berusia 16 tahun itu yang memulakan aksinya di petak ke-16 mencatat masa 26 minit 54.883 saat (s) untuk menamatkan saingan di tempat kelapan, tetapi gara-gara kesilapan dilakukan Hakim, dia dikenakan penalti kerana menunggang jentera melebihi had trek di selekoh terakhir.
Hukuman yang dikenakan itu mengakibatkan Hakim terpaksa berpuas hati melengkapkan aksinya di tangga kesembilan dan dia turut kehilangan satu mata dalam saingan yang diadakan di Litar Jerez bersempena Grand Prix Sepanyol.
Jika Hakim tidak dihukum dan kekal di kedudukan kelapan maka dia mengutip 8 mata, tetapi disebabkan penalti tersebut anak muda kelahiran Terengganu itu sekadar mengumpul 7 mata.
Hakim ketika ditemu bual selepas perlumbaan berkata, dia akur dengan hukuman tersebut yang memberi pengajaran berguna buatnya.
“Saya menghabiskan perlumbaan di tempat ke-8, namun, diturunkan satu posisi kerana melebihi batas litar.
“Saya akan cuba untuk tidak mengulangi kesilapan saya dan kembali lebih cemerlang untuk perlumbaan esok (hari ini),” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perlumbaan tersebut, Hakim memberitahu, dia berjaya menempatkann dirinya dalam kelompok hadapan pada awal aksi, tetapi disebabkan beberapa kesilapan kecil yang dilakukannya telah mengakibatkan dia kehilangan posisi itu.
Justeru, Hakim berjanji akan memperbaiki kesilapannya itu menjelang Perlumbaan 2 yang berlangsung pukul 3.50 petang ini waktu Malaysia.
Dalam perlumbaan tersebut, Angel Piqueras dari Sepanyol muncul selaku pemenang setelah mencatat masa terpantas 26:46.735s, manakala, di tempat kedua dan ketiga menjadi milik Jacob Roulstone (+0.281) dan Maximo Quiles (+0.305) yang mana kedua-duanya juga dari Sepanyol. – UTUSAN ONLINE