LONDON: Prinsipal pasukan Haas, Guenther Steiner mendakwa, bekas pelumbanya, Mick Schumacher pernah mengakibatkan mereka kerugian AS$3 juta (RM 13.3 juta) gara-gara terlibat dalam beberapa kemalangan tahun lalu.
Perkara itu didedahkan Steiner dalam bukunya Surviving to Drive, di mana dia mengakui hilang keyakinan kepada pelumba berusia 24 tahun.
Biarpun memegang reputasi sebagai anak kepada legenda Formula Satu (F1), Michael Schumacher, namun Mick tidak mewarisi bakat bapanya.
Musim lalu, pelumba Jerman itu mengalami tiga kemalangan besar ketika bersaing di Arab Saudi, Monaco dan Jepun.
Kemalangan di Jepun berlaku ketika semua pelumba sedang kembali ke pit, dan kerugian yang ditanggung dianggarkan melebihi AS$1 juta (RM4.42 juta).
“Benar keadaan litar ketika itu basah tetapi tiada siapa akan melanggar kereta lain ketika semua pelumba sedang memandu untuk pulang ke pit.
“Berapa orang yang kami boleh kami gajikan dengan AS$700,000 (RM3.09 juta)? Kini saya perlu cari duit tersebut,” kata Steiner.
Steiner turut menjelaskan kerosakan yang berpunca daripada kecuaian Schumacher musim lalu berjumlah AS$3 juta keseluruhan.
Justeru apabila pasukan itu bertindak menukar Schumacher kepada Nico Hulkenberg, ia satu keputusan yang mudah.
“Kami kehilangan sebuah jentera selepas lima minit, dan terpaksa membinanya semula.
“Kami tidak boleh mempunyai seorang pemandu yang saya tidak yakin mampu membawa jentera pasukan dengan selamat biarpun memandu di pusingan perlahan. Ia sangat mengarut,” tambah Steiner.
Hulkenberg berjaya membalas kepercayaan yang diberikan Haas apabila mengakhiri Grand Prix Australia awal bulan ini di tangga ketujuh.
Schumacher pula kini bertindak sebagai pelumba simpanan pasukan Mercedes. – AGENSI