DUBAI: Malaysia memastikan sekurang-kurangnya satu wakil di perlawanan akhir Kejohanan Badminton Asia esok apabila beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin berjaya menyingkirkan pilihan keempat kejohanan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam aksi separuh akhir sebentar tadi.
Atas kertas, rekod perlawanan lalu tidak memihak kepada Ee Yi dan Yew Sin apabila tewas sebanyak tujuh kali daripada lapan pertemuan. Bagaimanapun aksi yang berlangsung di Dewan Sheikh Rashid bin Hamdan, Dubai menyaksikan mereka menampilkan semangat juang yang tinggi untuk mengejutkan pasangan Jepun itu dengan keputusan 21-16, 26-24 dalam tempoh 50 minit.
Ee Yi dan Yew Sin terpaksa menanti perlawanan di antara Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dengan Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan bagi mengetahui lawan mereka di final esok.
Terdahulu, hasrat untuk melihat beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mencipta kejutan ke atas pilihan pertama kejohanan, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dalam satu lagi aksi separuh akhir tidak kesampaian.
Pasangan negara itu terpaksa akur apabila tewas dengan keputusan 21-11, 21-13.
Bagaimanapun Soon Huat dan Shevon masih boleh berbangga apabila tidak pulang dengan tangan kosong pada edisi kali ini kerana keputusan ini sudah cukup untuk mereka meraih pingat gangsa, pencapaian yang jauh lebih baik daripada edisi tahun lalu apabila mereka ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan kedua.