PETALING JAYA: Cabaran Malaysia pada kejohanan skuasy Terbuka Britain berakhir selepas dua pemain negara tersingkir kepada lawan masing-masing pada pusingan kedua di Kelab Edgbaston Priory, Birmingham, England, semalam.
Pemain No. 26 dunia, Aifa Azman yang turun terlebih dahulu ke gelanggang berusaha memberikan tentangan sengit ke atas wakil Mesir yang menghuni ranking No. 14 dunia, Salma Hany, namun, dia akhirnya tunduk 8-11, 11-4, 9-11, 4-11 dalam masa 49 minit.
Seorang lagi wakil Malaysia, S. Sivasangari yang turut membawa misi sama untuk mara ke peringkat seterusnya turut disekat langkahnya oleh pemain veteran England, Sarah-Jane Perry 9-11, 9-11, 11-4, 8-11 dalam masa 40 minit.
Perry yang berusia 32 tahun dan menghuni ranking No. 8 dunia selepas perlawanan memuji persembahan yang dipamerkan Sivasangari apabila dia menyifatkan anak kelahiran Kedah itu bukanlah calang-calang pencabar.
“Saya amat berpuas hati berjaya mara ke peringkat seterusnya. Siva seorang lawan yang berkualiti.
“Anda boleh menyaksikan dia bermain di Toronto (pertandingan disertai Sivasangari sebelum ke Terbuka Britain), dia berjaya memaksa Olivia Clyne yang berada pada prestasi terbaiknya beraksi sehingga ke set penentuan.
“Jadi, saya amat menyedari tentang hakikat itu sebelum masuk ke gelanggang dan amat penting untuk saya mengawal emosi saya,” katanya.
Kegagalan Aifa dan Sivasangari di pusingan kedua menyaksikan cabaran Malaysia di Terbuka Britain berakhir selepas dua lagi lagi pemain negara, Ng Eain Yow dan Rachel Arnold telah pun tersingkir seawal pusingan pertama. – UTUSAN ONLINE