DUBAI: Harapan skuad negara di Kejohanan Badminton Asia yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus disemarakkan oleh dua gandingan profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dalam acara beregu lelaki dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Kegembiraan skuad negara dimulakan oleh Soon Huat dan Shevon yang turun menentang pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Mentari.
Meskipun atas kertas, Soon Huat dan Shevon memiliki rekod lebih baik menentang pasangan No. 14 dunia itu, namun pertemuan terakhir mereka di Saingan Akhir Jelajah Dunia tahun lalu menyaksikan pasangan negara ini ditewaskan dengan mudah.
Bagaimanapun Soon Huat-Shevon mengenepikan rekod perlawanan lalu untuk memastikan tiket ke separuh akhir Kejohanan Asia menjadi milik mereka apabila menoktahkan kemenangan dengan keputusan 21-17, 15-21, 21-19.
Cabaran lebih getir menantikan mereka esok apabila bakal berdepan dengan pilihan pertama kejohanan, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China.
Malam gemilang skuad negara di Dubai dilengkapkan pasangan beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang menyingkirkan pasangan No. 1 Dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto dengan keputusan 22-20 21-15 selepas 37 minit bertarung.