PETALING JAYA: Berjaya mengalahkan Thailand ibarat ‘Lailatul Qadar’ buat skuad sepak takraw negara, dan bonus lumayan bakal menanti jika kejutan itu mampu dilakukan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, 5 hingga 17 Mei.
Bonus tersebut tidak termasuk jika mereka membawa pulang pingat emas, kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan semalam.
Bagaimanapun kata Sumali, jumlah insentif yang akan diberi hanya akan didedahkan sebelum mereka berlepas ke Phnom Penh pada 8 Mei ini.
Kali terakhir Malaysia berjaya menjinakkan skuad Gajah Putih adalah pada 2005 di Filipina dalam final antara regu yang dibarisi Azman Nasrudin, Normanizam Ahmad, Putra Abdul Ghani, Saifudin Hussin dan Zulkarnain Mohd. Arif.
“Sudah tentu ada (bonus), jika kita mendapat pingat emas, yang itu saya belum umum kepada pemain. InsyaAllah selepas hari raya (Aidilfitri) nanti sebelum mereka ke Kemboja, kita akan umumkan sebagai penyuntik semangat untuk mereka ke sana.
“Kita kena berani membuat pengumuman-pengumuman penting supaya kita dapat lihat pemain kali ini bersungguh-sungguh untuk mencapai pingat emas.
“Dapat kalahkan Thailand ibarat Lailatul Qadar buat sepak takraw negara, tetapi saya yakin akan ada kejutan melihat semangat pemain di bawah jurulatih, Ahmad Jais Baharun,” katanya ketika mengumumkan skuad Malaysia ke Sukan SEA semalam.
Pada edisi Sukan SEA kali ini, PSM menyenaraikan lima perejam, empat tekong dan hanya tiga orang sahaja apit kiri bagi skuad lelaki, dengan kembalinya tekong utama, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak ke dalam pasukan selepas tersisih sekian lama dari kem kebangsaan.
Bagi skuad wanita pula, sembilan pemain dipilih dengan kebanyakannya pula adalah muka baharu.
Sementara itu, bagi acara chinlone, PSM memanggil kembali muka-muka yang membarisi skuad pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 untuk menggalas cabaran negara di Phnom Penh.