PETALING JAYA: Majlis Paralimpik Malaysia(MPM) optimis sekiranya bajet sama dinikmati atlet normal turut disalurkan kepada atlet para, pastinya lebih banyak emas mampu dituai mereka di Sukan Paralimpik dan kejohanan utama lain.
Buktinya, meskipun dana diterima jauh berbeza dengan atlet biasa bagi melakukan persiapan dan sebagainya, namun kekurangan tersebut dibalas dengan kejayaan membawa pulang tiga pingat emas dalam dua edisi sukan paralimpik berturut-turut iaitu di Rio de Janeiro 2016 dan Tokyo 2020.
Pencapaian luar biasa diraih mereka bagaimanapun seolah-olah dipandang sebelah mata oleh pihak bertanggungjawab meskipun atlet normal masih tercari-cari emas pertama buat Malaysia tetapi menikmati keistimewaan cukup besar berbanding atlet para.
Persoalan itu, sudah beberapa kali dibangkitkan Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, namun ia seakan-akan dipandang sepi meskipun Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini telah mengumumkan dana khas untuk program pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU).
Peruntukan berjumlah RM10 juta pada 2021 dan RM12 juta (2022) yang diberikan khas kepada pembangunan sukan OKU, langsung tidak diterima oleh MPM yang menerajui 27 persatuan.
“Untuk makluman pada 2021, RM10 juta diperuntukkan tetapi kita (MPM) tidak dapat merasai duit itu, mungkin duit itu diletakkan kepada jabatan belia sukan negeri atau sebagainya saya tidak pasti.
“Tahun 2022 peruntukan RM12 juta, kami juga tidak dapat merasa. Apa yang kami dapat di MPM hanyalah wang pengurusan sebanyak RM100,000 setiap tahun dan juga untuk 27 persatuan itu.
“Duit-duit tersebut atas bajet yang diumumkan oleh kerajaan sewaktu itu adalah untuk memperkasakan akar umbi dan memastikan program pembangunan bakat.
“Selain itu, memastikan kemenangan untuk atlet para serta negara, di mana persatuan-persatuan perlu diperkuatkan. Mereka perlu ada bajet untuk menjalankan dan melaksanakan program. Sudah dua tahun kami tidak dapat berita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Program Road To Gold (RTG) yang hanya melibatkan atlet normal sekali lagi memperlihatkan layanan berbeza diterima atlet para.
“Bajet RM324 juta (yang diumumkan Kerajaan dalam Belanjawan 2023), kami tidak dapat bayangkan atau tahu berapa nilai (akan diterima). Kami masih menunggu dan saya sendiri belum lagi bertanya kepada KBS berkenaan perkara tersebut.
“Tidak mungkin sudah tiga tahun tiada (dana) lagi. Mereka (atlet para) sudah menang dan tunjukkan secara merit, saya rasa 32 juta rakyat Malaysia juga berpuas hati dengan atlet para dan bersetuju dengan MPM serta 27 persatuan bahawa kami layak untuk menerima peruntukan bagi program akar umbi diberikan kepada kami.
“Saya harap pihak Kementerian pantau dan teliti tentang perkara ini kerana di MSN (Majlis Sukan Negara) hanya jalankan program elit tetapi kita mempunyai program pencarian bakat (TID) dan mempunyai data OKU dalam sukan. Kami perlu uruskan pembangunan seawal darjah satu (7 tahun) hingga 17 tahun,” jelasnya.
Atlet para negara memahat sejarah dengan memenangi tiga pingat emas dalam temasya Paralimpik Rio 2016 menerusi Mohd. Ridzuan Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru T20) dan Abdul Latif Romly (Lompat jauh lelaki T20).
Kecemerlangan itu diteruskan di Tokyo 2020 apabila tiga lagi pingat emas dibawa pulang oleh Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting 72kg), Cheah Liek Hou (badminton perseorangan lelaki SU5) dan Abdul Latif.