IPOH: Berapa pula kali ini? Itulah persoalan yang bermain dalam fikiran penyokong Perak FC apabila pasukan itu bertemu gergasi Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT), dalam saingan Liga Super di Stadium Perak di sini pada Selasa ini.
Selepas kalah 1-3 kepada Penang FC pada Jumaat lalu, penyokong Perak FC kini menghitung nasib pasukan The Bos Gaurus apabila menentang juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.
Berdasarkan prestasi semasa, apa yang pasti peminat tuan rumah menjangkan pasukan mereka akan menjadi mangsa belasahan pasukan Harimau Selatan.
“Jika bertemu Penang pun kena tiga gol, tak tahulah saya berapa Perak hendak kena dengan JDT nanti,” kata Zainal Abidin Ibrahim dari Jelapang Jaya.
Zainal berkata, dia tidak berniat untuk memperkecil kemampuan anak buah Datuk Lim Teong Kim sebaliknya bersikap realistik terhadap kemampuan pasukan.
“Jika Selangor FC dan Sabah FC pun tumpas dengan empat gol tanpa balas, saya bimbang nasib Perak FC akan lebih buruk.
“Belum main peminat sudah meramal kekalahan malah, Perak FC mungkin akan kalah dengan jurang besar,” katanya.
Namun, ahli perniagaan itu berharap pemain Perak FC tidak mudah menyerah kalah sebaliknya berusaha mempertahan kubu ketika bermain di laman sendiri.
“Kalah memang kalah tetapi biarlah dengan melawan, tunjuklah perwatakan mantap agar tidak menjadi mangsa belasahan,” katanya-UTUSAN ONLINE