PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe lega penyerang baharunya, Ayron Del Valle semakin menyesuaikan diri dengan pasukan dan mula menemui sentuhan selaku peledak utama.
Penyerang kelahiran Colombia itu meledak dua gol ketika Red Giants menumpaskan pasukan jiran, Kuala Lumpur City (KL City) 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur kelmarin.
Ayron, 34, sebelum ini tampak bergelut dengan kehidupan baharu dalam Liga Malaysia (Liga M), malah tenggelam ketika Selangor dibelasah 4-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT), 17 Mac lalu.
“Ayron ada kualiti penyerang yang tersendiri dan sangat bahaya di depan gol tetapi dia perlu masa dalam pasukan. Setiap hari dia bekerja keras dan kini di tahap terbaik.
“Sudah tentu selepas menjaringkan gol, keyakinan dia akan meningkat tetapi sumbangan dia dalam pasukan juga perlu diperhatikan. Meskipun dikatakan sudah berusia, dia masih relevan untuk Selangor,” katanya.
Kemenangan ke atas KL City membantu Selangor bangkit daripada kekecewaan tumpas besar kepada JDT.
Malah lebih manis, pemain sayap lincah, Faisal Halim akhirnya membuka akaun jaringan sejak menyarung jersi Merah Kuning.
Dalam pada itu, Cheng Hoe turut menegur gelagat pemainnya yang dilihat lebih gemar mempertikaikan keputusan pengadil berbanding fokus kepada permainan hingga menyebabkan mereka dibolosi lawan.
“Ini semua adalah pelajaran buat pemain. Mereka perlu bermain mengikut wisel dan jangan hilang fokus.
“Harap akan datang mereka lebih fokus kepada permainan sahaja dan bukan kepada keputusan pengadil,” tegasnya.