Atlet RTG mahu sokongan sains sukan, lebih banyak kejohanan

Atlet RTG mahu sokongan sains sukan, lebih banyak kejohanan

JAWATANKUASA Road to Gold yang bersidang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyelaras Projek Road To Gold (RTG), Stuart Ramalingam berkata, rata-rata 15 atlet yang disenaraikan dalam projek itu meminta supaya diberikan lebih banyak pendedahan kejohanan, sistem sokongan sains sukan serta pemakanan bagi meningkatkan lagi prestasi semasa mereka ketika ini.

Jelas Stuart, pihaknya sudah berjumpa hampir separuh daripada atlet yang terlibat, dimana kesemua mereka menyatakan hasrat dan keinginan masing-masing dalam memaksimumkan potensi dimiliki ke arah pencapaian prestasi tertinggi.

Setiap permintaan dan keperluan atlet RTG yang dijangka akan siap dikumpulkan menjelang pertengahan bulan Mei ini akan di bawa kepada Jawatankuasa RTG bagi tujuan penilaian serta kelulusan.

“Sejak tempoh hari, kita sudah berjumpa dengan hampir separuh atlet dan beberapa atlet masih di luar negara. Mengenai perjumpaan saya, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Lee Zii Jia (pemain badminton profesional lelaki) ia adalah antara permulaan proses pengumpulan keperluan semasa atlet.

“Ia akan dibawa untuk pertimbangan Jawatankuasa RTG, maklumat yang diterima sangat bagus, kebanyakan atlet amat positif dengan adanya projek RTG dan keperluan serta sistem sokongan tambahan yang akan diberi, mungkin pada pertengahan Mei (pengumpulan) keperluan atlet selesai,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa RTG mengumumkan 15 nama awal atlet prospek pingat emas dengan 11 pemain badminton tersenarai.

Antara yang disenaraikan ialah pemain beregu wanita negara, M.Thinaah-Pearly Tan; beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta pemain profesional, termasuk Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki) serta dua beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

LEE ZII JIA

Melengkapkan senarai 15 atlet program RTG adalah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dari sukan terjun.

Dalam masa sama, Stuart berkata pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan jurulatih atlet masing-masing untuk memastikan segala permintaan mereka selaras dengan apa yang diperlukan daripada sudut kejurulatihan.

“Mungkin daripada senarai (atlet) daripada 10, kita boleh melakukan lima dan mengambilnya secara berperingkat. Buat masa ini saya percaya bahawa kita sedang menuju ke arah yang betul.

“Saya sangat positif dengan perbualan kerana semua atlet melihat perkara ini dari segi objektif terhadap Sukan Olimpik dan bukannya sesuatu yang peribadi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya