Arsenal seri lagi, kedudukan sebagai pendahulu semakin goyah

Arsenal seri lagi, kedudukan sebagai pendahulu semakin goyah

Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus cuba untuk melepasi kawalan pertahanan Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates yang berkesudahan seri 3-3 sebentar tadi. (Foto: AFP)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Arsenal terus buntu untuk mencari kemenangan apabila sekali lagi diikat pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris, Southampton dengan keputusan seri 3-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Emirates sebentar tadi.

Skuad kendalian Mikel Arteta bermula hambar apabila penjaga gol, Aaron Ramsdale membuat kesilapan sehingga membuka ruang buat penyerang pelawat, Carlos Alcaraz meledak jaringan pertama biarpun perlawanan baru sahaja berusia 17 saat.

Tuan rumah semakin parah apabila bekas pemain mereka, Theo Walcott menggandakan jaringan pada minit ke 14 selepas mendapat lorongan daripada Alcaraz.

Arsenal enggan mengalah dan cuba merapatkan jurang apabila Gabriel Martinelli merembat kencang ke gawang Southampton selepas menerima hantaran silang daripada Bukayo Saka pada minit ke 20.

Aksi di babak kedua menyaksikan perlawanan semakin rancak dengan pelawat kembali tersenyum lebar apabila Duje Caleta-Car berjaya menanduk bola menerjah ke gawang Arsenal untuk menjadikan kedudukan 3-1, berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil James Ward-Prowse.

Kapten Arsenal, Martin Odeegard menghidupkan sisa perjuangan rakan sepasukannya apabila melakukan satu rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Southampton, Gavin Bazunu pada minit ke 88.

Gol tersebut menyemarakkan semangat The Gunners dengan Saka berjaya menyumbat gol penyamaan untuk menjadikan keputusan 3-3 pada minit ke 90, sekaligus mengelakkan pendahulu liga itu mengalami kekalahan di laman sendiri.

Begitupun, kedudukan Arsenal di puncak lagi masih belum selamat biarpun mengutip 75 mata daripada 32 perlawanan kerana seteru mereka, Manchester City kurang dua perlawanan dan mengekori rapat dengan 70 mata.

Kedua-dua pasukan ini akan membuat perhitungan Khamis depan di Stadium Etihad, dengan perlawanan itu bakal menjadi penentu kejuaraan liga musim ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN