Ainaa tempah slot akhir di St. Louis - Utusan Malaysia

Ainaa tempah slot akhir di St. Louis

NOOR AINAA AMANI melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Skuasy RC Pro Series di St. Louis, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengorbanan pemain skuasy negara, Noor Ainaa Amani Ampandi tidak pulang ke tanah air menyambut Hari Raya Aidilfitri, benar-benar berbaloi apabila dia mengekalkan rentak cemerlang menjejakkan kaki ke perlawanan akhir pada Kejohanan RC Pro Series 2023 di The Racquet Club, St. Louis, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Dalam aksi separuh akhir, Ainaa yang kini menghuni ranking ke-69 dunia mengetepikan cabaran wakil Mesir, Haya Ali 11-9, 11-8, 12-14, 11-9 dalam masa 37 minit.

Sebelum mara ke separuh akhir, Ainaa terlebih dahulu mengejutkan pilihan pertama, Nour Aboulmakarim juga dari Mesir 11-7, 6-11, 11-3, 13-11 dalam masa 36 minit.

Kemenangan tersebut bakal menemukan pemain berusia 21 tahun itu dengan pemain No. 59 dunia, Salma Eltayeb yang mengejutkan rakan senegaranya yang juga diletakkan selaku pilihan kedua, Kenzy Ayman 11-6, 6-11, 11-9, 11-9.

Kejayaan Ainaa sekurang-kurangnya menyekat dominasi Mesir daripada bertemu sesama sendiri dalam perlawanan akhir yang akan diadakan, esok, pada pukul 1 pagi waktu Malaysia (12 tengah hari waktu di St. Louis).

Ainaa meneruskan prestasi konsisten sejak menjulang gelaran di Hong Kong dan India, baru-baru ini bagi menghampiri trofi ketiga dalam karier profesionalnya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga cemerlang sewaktu beraksi pada Kelayakan Kejuaraan Dunia di Birmingham, dua minggu lalu, apabila dia buat kali pertama menjejakkan kaki pada kejohanan berprestij itu yang bakal berlangsung di Chicago, AS, bulan depan.

Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Sharon Wee berkata, keyakinan Ainaa kini semakin meningkat selepas dia merangkul dua gelaran dalam Jelajah Cabaran PSA secara berturut-turut.

“Yakin diri, kekuatan mental dan bagaimana dia menguruskan emosi telah banyak membantu Ainaa terus kekal konsisten.

“Dia juga semakin bijak mengendalikan tekanan dan menyusun perancangan permainannya pada pertandingan yang bertaraf tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Sharon, apabila menang pertandingan pertama, selepas itu dibuktikan sekali lagi menang pada kejohanan kedua, sedikit sebanyak ia memberi perubahan kepada tahap keyakinan Ainaa.

“Bagi saya Ainaa kini percaya bahawa dia kini seorang juara dan boleh lakukan apa sahaja untuk bergelar juara jika bekerja keras,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya