PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, Noor Ainaa Amani Ampandi sanggup ‘mengeksport’ ibunya ke New Delhi, India yang menjadi chef untuknya sepanjang atlet itu menyertai Terbuka Vikram Goyal SRFI yang berlangsung pada bulan Ramadan.
Memandangkan hanya Ainaa menjadi wakil tunggal Malaysia pada kejohanan bertaraf Jelajah Cabaran PSA itu, pemain berusia 21 tahun tersebut berasa lebih selesa jika dia membawa ibunya, Noor Suria Awang Hassan bersamanya.
“Hanya saya seorang wakil Malaysia yang beraksi pada kejohanan di India ini, mama sebagai peneman saya, lagi pun sekarang bulan puasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Gadis kelahiran Kuala Lumpur yang kini menghuni ranking ke-90 dunia itu merangkul gelaran Terbuka Vikram Goyal SRFI selepas menundukkan wakil Mesir, Haya Ali 11-8, 11-9, 11-9 dalam masa 29 minit pada perlawanan akhir, Rabu lalu.
Ketika ditanya mengenai berpuasa di India, Ainaa memberitahu, menjalani ibadah tersebut sepanjang berada di negara itu tidak jauh bezanya dengan di Malaysia.
“Puasa di India lebih kurang Malaysia je, senang makan sebab kami masak je kat sini,” jawabnya ringkas sambil mengakui dia sengaja membawa ibunya yang berperanan sebagai chef.
Mengulas pula tentang perancangannya selepas merangkul dua gelaran dalam tempoh dua minggu dengan kejuaraan sulungnya diraih pada Piala Cabaran Skuasy Hong Kong, bulan lalu, Ainaa berkata, sasarannya selepas ini ialah beraksi pada Kelayakan Kejuaraan Dunia di Birmingham yang bermula Rabu minggu depan.
Ainaa yang kali ini turut ditemani rakan senegara yang lain seperti Yee Xin Ying, Chan Yi Wen, Aira Azman dan J. Yasshmita akan terus mara ke suku akhir dan beraksi menentang pemain Mesir, Nour Heikal.
Jelasnya, selepas kejohanan di Birmingham, dia akan terbang pula ke Amerika Syarikat menyertai dua pertandingan di sana sehingga bulan Mei.
Meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 50 terbaik dunia, Ainaa mengakui kejayaan merangkul gelaran di Hong Kong dan India telah banyak memberi suntikan semangat untuk beraksi lebih bagus dalam pertandingan akan datang.