Abdul Puhat sedih jika PAFA dibubarkan

Abdul Puhat sedih jika PAFA dibubarkan

KEMELUT dalaman Pafa masih belum berkesudahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mohd. Nayan mengakui berasa sedih berikutan ura-ura persatuan itu mungkin akan dibubarkan.

Menurutnya, jika perkara itu benar, beliau merupakan orang yang paling kecewa terhadap pemegang jawatan persatuan kerana membiarkannya berlaku.

“Bagaimana mereka biarkan sebuah persatuan unggul seperti PAFA berkubur?

“PAFA kaya dengan tradisi dan warisan, ia adalah warisan sejarah bola sepak negara. Kenapa tidak dijaga dengan baik sesuatu yang begitu bernilai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang merupakan Presiden PAFA pada 2015-2018 berkata, Perak adalah antara kuasa bola sepak unggul terutama dalam kancah Piala Malaysia.

Menurutnya, perkara itu berlaku kerana ego dan kepentingan diri menjadi perjuangan utama.

“Pemimpin terdahulu tidak meletakkan kepentingan diri namun malangnya kebelakangan ini ada di antara kepimpinan PAFA yang meletakan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan bola sepak itu sendiri, menyebabkan PAFA berada dalam keadaan sekarang,” katanya.

Justeru Abdul Puhat yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menasihatkan pihak yang terlibat supaya bersemuka dan duduk semeja untuk mencari jalan penyelesaian.

“Ketepikan ego dan kepentingan diri masing masing demi maruah bola sepak negeri Perak tercinta. Belum terlambat untuk mencari penyelesaian sebelum Pafa dibubarkan oleh Pesuruh Jaya Sukan (PJS),” katanya.

Sebelum ini, PAFA dikatakan mungkin dibubarkan oleh PJS kecuali jika menemui jalan penyelesaian terhadap kemelut dalaman dihadapi.

Kemelut berpunca daripada tindakan kedua-dua kumpulan bertelagah dalam PAFA untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan kerana tidak mengikut peraturan dan perlembagaan persatuan.

Berikutan itu PJS memberi peluang kepada PAFA agar mengadakan perbincangan antara pihak yang bertelagah iaitu membabitkan 11 ahli gabungan serta tiga Naib Presidennya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya