PETALING JAYA: Lee Zii Jia terus dirundung malang apabila gagal melepasi pusingan kedua badminton Terbuka Jerman di Mulheim, sebentar tadi.
Turun sebagai pilihan pertama dalam kejohanan bertaraf Super 300 itu, jaguh No. 4 dunia tersebut bagaimanapun tumpas 21-15, 20-22, 21-23 di tangan pemain ranking ke-49 dunia, Lee Chia Hao dari Taiwan.
Kekalahan dalam tempoh 57 minit itu nyata merentap keyakinan Zii Jia yang kali terakhir mendakap kejuaraan dalam Jelajah BWF pada Terbuka Thailand, Mei tahun lalu.
Tanpa jurulatih, pemain berusaha 24 tahun nyata perlu segera bangkit sebelum menghadapi All England minggu depan.
Segalanya bermula baik buat juara All England itu apabila menguasai set pertama dengan mendahului 17-7 sebelum menang 21-15.
Zii Jia seakan-akan kehilangan fokus di set kedua apabila melepaskan kelebihan 20-16 dengan memberikan enam mata berturut-turut kepada lawan sebelum kalah 20-22.
Dalam set penentuan Zii Jia cuba bangkit
dari ketinggalan 14-19 untuk mendahului 21-20, namun Chia Hao meraih tiga mata berturut-turut dan menamatkan permainan sebagai pemenang.
Sementara itu dalam perseorangan wanita, Goh Jin Wei turut ditunjukkan jalan keluar apabila tewas 13-21, 10-21 kepada Pornpawee Chochuwong dari Thailand.
Pasangan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bagaimanapun memastikan Malaysia mempunyai wakil di suku esok selepas mengejutkan pilihan keenam dari Korea Selatan, Seo Seung-jae-Chae Yu Jung 21-11, 24-22 dalam beregu campuran.
Kemenangan itu akan menemukan Tang Jie-Ee Wei dengan satu lagi beregu Korea, Kim Won-ho-Jeong Na Eun. – UTUSAN ONLINE