Zii Jia kena 'hadap' orang lama jika tidak mahu 'hanyut'

Zii Jia kena ‘hadap’ orang lama jika tidak mahu ‘hanyut’

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekali pun tetap dengan pendirian enggan mengambil jurulatih, Lee Zii Jia dinasihatkan agar ‘merendah diri’ menghadap bekas-bekas pemain badminton terbaik negara bagi mendapatkan nasihat untuk memulihkan kariernya yang semakin membimbangkan.

Kelmarin, pemain No. 4 dunia itu ditunjukkan jalan keluar oleh pemain tidak ternama Taiwan, Chia Hao Lee 21-15, 20-22, 20-23 seawal pusingan kedua Terbuka Jerman.

Itu bermakna, Zii Jia masih kempunan memenangi gelaran dalam Jelajah Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) sejak kali terakhir muncul juara Terbuka Thailand, Mei tahun lalu.

“Saya harap Zii Jia berlapang dada bertemu dengan bekas-bekas pemain bagi dapatkan nasihat dan pandangan.

“Mungkin boleh bertemu Datuk Rashid (Sidek), Roslin (Hashim) atau sesiapa pun, sebab saya yakin kami memang mahu membantu dia.

“Bagi saya, dia perlukan seseorang untuk membimbingnya dalam situasi sukar ini, sebab saya tahu tak mudah bergerak berseorangan,” kata bekas jaguh perseorangan negara, Ong Ewe Hock kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ewe Hock, dia menghormati keputusan Zii Jia mahu bergerak tanpa jurulatih, namun juara All England 2021 itu juga perlu membuktikan keputusan tersebut tepat dengan mula meraih kemenangan.

“Kita sedar sejak dia bergerak tanpa jurulatih, dia tidak lagi konsisten dengan kualiti dan keputusan perlawanan. Bagaimanapun, dia mesti selesaikan masalah ini sebab dari awal dulu pun dia yang memilih untuk berada dalam situasi ini.

“Bagi saya, dia mesti tangani isu ini dengan segera. Soal jurulatih, jika dia masih tidak mahu sesiapa mengajarnya, jadi dia kena buktikan dengan kemenangan. Dia kena tunjuk tanpa jurulatih pun, itu tidak ganggu persembahannya di gelanggang,” katanya. 

Kata Ewe Hock Zii Jia perlu segera menangani masalah bagi membolehkannya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris. 

Ketika ditanya sama ada pemain itu pernah menghubunginya bagi mendapatkan nasihat, Ewe Hock menjawab belum, namun hatinya sentiasa terbuka untuk menerima kunjungan Zii Jia jika memerlukan petunjuk dan dorongan. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya