KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Terengganu (THT) bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi TNB 3-2, sekali gus mengekalkan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023.
Kemenangan dramatik itu menyaksikan THT mengutip 40 mata daripada 14 perlawanan untuk mengatasi pencabar terdekat, TNB di tempat kedua yang mengumpul 34 mata.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, THT bermula garang dengan pukulan sudut penalti Jang Jonghyun pada minit kelima dan percubaan Syarman Mat Tee dinafikan penjaga gol TNB.
Di sebalik penguasaan itu, THT dikejutkan gol pembukaan penyerang berbisa TNB, Azrai Aizad Abu Kamal yang menyambar umpanan Mughni Mohamad Kamal pada minit ke-30.
Aksi makin rancak lima minit bersambung babak kedua apabila gerakan Marhan Mohd. Jalil dari sebelah kiri disudahkan dengan baik oleh Abdul Khaliq Hamirin untuk gol penyamaan THT.
Kedudukan bagaimanapun tidak bertahan lama setelah Aminudin Mohd. Zain (m-42) melakukan pukulan sudut penalti sempurna dan meletakkan TNB 2-1 di depan.
Kebangkitan THT diteruskan pada suku keempat apabila pukulan sudut penalti Jonghyun menerjah jaring pada minit ke-47 untuk kembali mengimbangi permainan.
Fakar flik Korea Selatan itu muncul wira selepas menjaringkan gol ketiga juga melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-60 dan melengkapkan kemenangan 3-2 buat THT. – UTUSAN ONLINE