PETALING JAYA: Biarpun lega diundi bersama dua pasukan dari Asia Tenggara dalam Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17), namun laluan Malaysia tidak semudah disangka, di mana Thailand dan Yemen mampu menjadi halangan terbesar mereka untuk mencari tiket ke Piala Dunia B-17.
Selain tuan rumah, Thailand dan Yemen, skuad bimbingan Osmera Omaro turut diletakkan dalam Kumpulan A bersaama Laos.
Kata Osmera, beliau tidak terkejut sama sekali apabila mendapat tahu tentang undian tersebut dan bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi.
“Dalam pertandingan macam ini, apabila dah sampai peringkat ini saya rasa tak ada kumpulan yang mudah atau kumpulan yang kita boleh makan, ia tidak ada sama sekali.
“Kita diundi bersama Thailand, sebagai tuan rumah dia dapat suntikan moral yang lebih dan saya juga tahu Yemen sangat mengagumkan sewaktu kelayakan dan Laos pula memang sebuah pasukan yang akan buat hidup orang lain susah,” katanya .
Sekiranya, Malaysia mampu melangkah jauh sehingga ke separuh akhir, maka skuad negara berpeluang mengisi slot ke Piala Dunia di Peru.
Piala Asia B-17 Tahun akan diadakan pada 15 Jun hingga 2 Julai ini. – UTUSAN ONLINE