KUALA NERUS: Hasrat Terengganu FC (TFC) dan KL City FC meraih kemenangan sulung dalam Liga Super tidak tercapai apabila sekadar seri 0-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan kekal di kelompok bawahan liga dengan TFC mengutip mata pertama manakala KL City, dua mata dari tiga perlawanan.
Awal permainan lebih memihak kepada KL City menerusi umpanan Declan Lambert namun, percubaan Herlison Caion pada minit ke-12 tinggi melepasi sasaran.
Sang Penyu di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner turut menguji kubu pelawat melalui sepakan bebas Ivan Mamut yang berjaya ditepis penjaga gol, Kevin Ray Mendoza pada minit ke-30.
Memasuki minit ke-38, Mamut hampir membuka akaun jaringan bersama TFC tetapi tandukannya hasil hantaran Mohd. Syafik Ismail sedikit tersasar ke sebelah tepi.
KL City meningkatkan tekanan selepas rehat dan Paulo Josue (m-52) nyaris meletakkan skuad ibu kota di depan malangnya rembatan dari luar kotak melencong ke sebelah kiri.
Peluang terbaik pelawat hadir menerusi larian solo Zhafri Yahya yang melepasi kawalan pertahanan lawan namun, penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim bertindak tangkas menepis percubaannya pada minit ke-56.
Usaha TFC dan KL City mendapatkan jaringan menuju hujung aksi gagal membuahkan hasil memaksa pengadil, Zamzaidi Katimin menamatkan 90 minit dengan kedudukan 0-0.- UTUSAN ONLINE