Speedy Jantan mahu rampas ‘Raja Pecut’

Speedy Jantan mahu rampas ‘Raja Pecut’

KHAIRUL HAFIZ JANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Enam tahun lalu, Khairul Hafiz Jantan melakar sensasi ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan SEA apabila memenangi pingat emas acara 100 meter (m) lelaki ketika berusia 19 tahun.

Malah, Khairul juga pernah memegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.18 saat (s) sebelum catatan itu dipadamkan oleh pelari remaja sensasi, Muhammad Azeem Fahmi dengan kepantasan 10.09s.

Kini, dengan ketiadaan Azeem yang berguru di Amerika Syarikat (AS), Khairul menggalas tugas Malaysia dalam acara 100m bersama Mohd. Haiqal Hanafi apabila Sukan SEA kembali di Kemboja, Mei depan.

Mendapat peluang sekali lagi untuk beraksi dalam temasya dwitahunan itu, Khairul Hafiz yang terkenal dengan julukan Speedy Jantan bersemangat untuk merampas semula pingat emas acara riben biru itu, apatah lagi prestasinya kini berada di tahap yang baik.

Khairul Hafiz, 24, bagaima­napun sedar dia bakal berdepan tentangan sengit pelari Thailand, Puripol Boonson yang juga pemenang pingat emas 100m dalam edisi terakhir di Hanoi, tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya tidak sangka akan berlari semula dalam 100m selepas dua tahun tidak beraksi untuk saingan individu. Kali ini, nama saya tersenarai dan saya anggap ini rezeki.

“Saya berpuas hati dengan pres­tasi semasa walaupun mencatat 10.51s untuk layak dan saya juga bebas dari­pada sebarang kecederaan hasil bantuan Institut Sukan Negara (ISN).

“Sekarang masih ber­baki dua bulan, dan selepas ini saya akan pergi ke Australia untuk latihan sehingga 4 April dan di sana, saya akan menyertai beberapa pertandingan dan kita akan lihat perkembangannya nanti.

“Di Sukan SEA Kemboja, saya sasarkan pingat dan tidak mustahil untuk rampas kembali emas. Saya pernah buat dahulu di Kuala Lumpur dan mahu ula­nginya,” kata pelari kelahiran Merlimau, Melaka itu.

Ketika ditanya mengenai saingan Puripol, Khairul Hafiz, 24, berkata, kehadiran atlet Thailand itu adalah sesuatu yang positif kerana dapat membantu dirinya mendapat saingan yang bagus untuk mencatatkan masa terbaik.

“Puripol akan beri motivasi kepada saya. Dalam 100m, apa sahaja boleh berlaku. Atlet yang di­sasarkan menang belum tentu lagi boleh menang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya