BASEL: Hasrat untuk melihat pasangan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai menamatkan kemarau kejuaraan mereka di Terbuka Switzerland tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan China, Jiang Zhen Bang – Wei Ya Xin sebentar tadi.
Set pertama menyaksikan Soon Huat dan Shevon dikerah bermati-matian oleh bekas pasangan juara remaja dunia itu yang menyaksikan lawan mengatasi mereka dengan keputusan 17-21.
Gandingan No. 11 Dunia berusaha untuk menyaingi pasangan muda China itu di set kedua, dan usaha itu berhasil apabila berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan selepas menang dengan keputusan 21-19 selepas berjuang selama 22 minit.
Di set ketiga, kedua-dua pasangaan saling berbalas serangan dan kejar mengejar antara satu sama lain.
Perlawanan terpaksa dihentikan seketika pada pertengahan set ketiga apabila Soon Huat mengadu mengalami luka di bahagian jarinya sehingga memerlukan rawatan susulan oleh pihak perubatan.
Sebaik perlawanan kembali bersambung, pasangan China itu terus mendapat momentum untuk menjarakkan kedudukan yang akhirnya menoktahkan kejayaan dengan keputusan 17-21.
Kali terakhir pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai berjaya menaiki podium sebagai juara adalah ketika menawan Terbuka Singapura pada 2018 dengan menewaskan Liliana Natsir-Tontowi Ahmad 21-19, 21-18.