MADRID: Suasana kem latihan Sepanyol tegang ketika La Roja dalam persiapan menghadapi dua aksi kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2024 hingga memaksa pemain Barcelona dan Real Madrid diasingkan.
Barcelona menumpaskan Real 2-1 dalam pertembungan Clasico, Ahad lalu, sekali gus mengukuhkan cengkaman pendahulu La Liga kepada 12 mata.
Selepas perlawanan itu, bintang remaja Barca, Gavi dan Alejandro Balde melaporkan diri bersama kem Sepanyol sama seperti rakan sepasukan mereka dari Real, Dani Carvajal, Nacho serta Dani Ceballos.
Menurut El Chiringuito, pemain kedua-dua kelab berlatih dengan kumpulan berbeza bagi mengelakkan ketegangan.
Pemain Real tidak gembira dengan sikap Gavi, 18, yang beberapa kali mencetuskan pergaduhan dalam aksi Clasico, terutama ketika insiden perebutan bola dengan Ceballos.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/GAVI-600x348.jpg)
Menurut wartawan Sepanyol, Adrian Sanchez, beberapa pemain Real menghubungi bintang senior Barca untuk mengadu mengenai Gavi.
Mereka merasakan pemain lebih berpengalaman dalam skuad Barcelona sepatutnya menegur sikap bekas pemain akademi tersebut.
Bercakap mengenai ketegangan dalam kem, Carvajal mengakui semua pemain berusaha ‘mempertahankan jersi yang sama’ dan mengalihkan fokus kepada bola sepak antarabangsa.
“Asakan di atas padang tidak lebih daripada sekadar asakan. Pertembungan Real-Bacelona amat menegangkan.
“Kedua-dua pasukan musuh ketat, jadi sudah tentu perlawanan berlangsung tegang tetapi sekarang kami bersama skuad kebangsaan, kami mempertahankan jersi sama dan berada dalam bot yang sama,” kata Carvajal.
Sepanyol akan menerima kunjungan Norway pada Sabtu ini, sebelum terbang ke Scotland tiga hari kemudian. – AGENSI