PETALING JAYA: Hasrat untuk melihat semua stadium di Malaysia menggunakan rumput yang lebih berkualiti akan menjadi kenyataan tidak lama lagi selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia menawarkan geran kepada kerajaan negeri untuk menukar rumput stadium mereka kepada jenis Zeon Zoysia.
Ia pasti menjadi satu khabar gembira buat semua pasukan bola sepak di negara ini kerana mereka berpeluang untuk beraksi di padang yang lebih baik selain peminat juga akan disajikan mutu permainan yang lebih berkualiti tanpa keadaan padang menjadi alasan disebalik prestasi hambar yang dipamerkan kelab yang diminati.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tawaran geran untuk penukaran rumput itu dibuat ketika mesyuarat pertama KBS bersama exco setiap negeri yang diadakan Januari lepas dan kini pihaknya sedang menunggu maklum balas setiap wakil negeri yang dijangka akan disampaikan dalam mesyuarat kedua akan datang.
Menurut Hannah, setiap negeri perlu memilih satu stadium bagi projek menaik taraf padang itu dan mereka perlu menjalankan penyelenggaraan awal sebelum pihaknya meluluskan peruntukan tersebut.
Sempena Hari Wanita – celebrating our women footballers. Jangan kecam saya masih kaki bangku, akan teruskan usaha belajar main bola sepak. pic.twitter.com/p0uq6jCWhd
— Hannah Yeoh (@hannahyeoh) March 8, 2023
“Dalam perjumpaan saya dengan Exco semua negeri dalam mesyuarat pertama Januari lalu, saya bagi pihak KBS telah beri cadangan naik taraf padang menerusi geran kepada semua Exco negeri untuk mereka pilih stadium yang ingin dinaik taraf untuk rumput Zeon Zoysia.
“Proses Naik taraf padang dibuat oleh negeri, KBS boleh bagi kos untuk menanam rumput tapi penyelenggaran perlu dilakukan oleh negeri. Jadi saya hanya akan tahu maklum balas rasmi dalam mesyuarat kedua samada mereka terima tawaran itu atau tidak,” katanya kepada pemberita ketika melawat sesi latihan skuad Malayan Tigress di Wisma FAM di Kelana Jaya semalam.
Setakat ini hanya Stadium Sultan Ibrahim milik Johor Darul Ta’zim (JDT) di Iskandar Puteri sahaja yang menggunakan rumput berkualiti ini selain Stadium Nasional Bukit Jalil yang turut akan menggunakan rumput ini apabila proses baik pulih padang siap sepenuhnya pada September 2023.
Ketika ini, kebanyakan stadium di Malaysia masih menggunakan rumput jenis ‘cow grass’ yang kurang berkualiti dan sering menjadi perdebatan pasukan dan peminat bola sepak kerana masalah padang tidak rata dan beralun hingga menyukarkan pemain mengawal pergerakan bola kerana lantunan yang agak kuat.
Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberikan idea kepada Hannah bagi memastikan rumput di setiap stadium ini digantikan dengan rumput yang lebih berkualiti seperti Zeon Zoysia bagi memastikan permukaan padang sentiasa dalam keadaan yang baik untuk permainan bola sepak yang lebih baik dan juga dapat melindungi pemain dari mengalami kecederaan.
“Tanya YB Hannah ini idea siapa. Kalau nak tunggu pemilik atau presiden kelab sampai bila-bila rumput lembu. Boleh belanja berpuluh juta setiap tahun tetapi padang RM900 ribu tak boleh buat,” kata Tunku Ismail.
Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, kementeriannya akan terus menyokong pembangunan akar umbi bola sepak wanita dari segi infrastruktur dan peruntukan untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Yang paling penting, mereka mesti diberi peluang untuk menonjolkan prestasi dan kemahiran masing-masing supaya bola sepak dan pasukan wanita sinonim, tidak rasa ganjil, stereotaip itu yang perlu dibuang,” katanya. – UTUSAN ONLINE