PETALING JAYA: Pasukan Selangor A bawah 12 tahun wanita muncul juara Kejohanan Boling Padang Kebangsaan B12 dan B18 Terbuka Terengganu yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus, Terengganu semalam.
Pada aksi final, Selangor A yang diwakili Isma Qadeeja Isma Mazni, Lia Zuleeqa Zilhan, Dian Aweena Irmantaha dan Dhia Maisara Ahmad Hafiz mempamerkan aksi memukau untuk menewaskan Kedah 13-5 bagi bergelar juara.
Kejayaan itu menyaksikan pasukan B12 wanita Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada tahun lalu sekali gus membuktikan program pembangunan dilaksanakan di peringkat negeri membuahkan hasil.
Lebih membanggakan, Dian Aweena yang bergandingan dengan Dhia Maisara turut muncul juara dalam kategori berpasangan manakala Isma Qadeeja dan Lia Zuleeqa pula menduduki tempat ketiga bagi kategori yang sama.
Jurulatih boling padang Selangor, Malisa Mohd. Mohayudin berkata, prestasi atlet pembangunan Selangor dalam kejohanan berkenaan sangat baik selepas melakukan persiapan rapi sejak tahun lalu.
“Atlet kita menunjukkan peningkatan pada tahun ini berbanding kejohanan yang sama pada tahun lalu. Peluang yang diberikan juga dimanfaatkan sebaik mungkin oleh barisan pemain untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
“Kita gunakan platform ini sebagai pendedahan dan memberi peluang kepada atlet pembangunan untuk menimba pengalaman dalam kejohanan bertaraf kebangsaan. Alhamdulilah, mereka buktikan kepada barisan jurulatih.
“Atlet yang menunjukkan pencapaian yang baik akan diberi peluang untuk diserapkan dalam Program Sukma Selangor dan kita akan melakukan persiapan rapi untuk memastikan pasukan Selangor akan terus mencipta kejayaan,” katanya.
Selain itu, Selangor turut muncul naib juara bagi kategori berpasangan wanita B18 tahun menerusi gandingan Nurjannah Omar dan Siti Aishah Rosman selain naib johan B12 lelaki menerusi Niyaz Zihni dan Andrian Armani Khabini.
Dalam pada itu, Selangor turut meraih gangsa bagi kategori berpasangan lelaki B18 menerusi gandingan Shahir Nadzmi Shahrizal dan Irsyad Hakimi Zulkeflee.
Satu lagi gangsa menjadi milik Selangor bagi kategori berempat wanita B18 menerusi Nur Syafirah Rezuan, Nurul Munirah Azizul Rahman, Aminatun Safiya Azman dan Rabiatul Adawiyah Jasni-UTUSAN ONLINE