PUTRAJAYA: Sasaran pingat buat kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Kemboja akan diumumkan pada bulan depan selepas penelitian dan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) dilakukan.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ini kerana temasya Sukan SEA Kemboja yang berlangsung dari 5 hingga 17 Mei depan akan menjadi kayu pengukur terhadap prestasi sebenar kontinjen negara pasca pandemik COVID-19.
“Kita harap proses pemulihan itu berjalan dengan cepat dan lancar. Saya fikir ini akan menjadi kayu pengukur pasca COVID-19 selepas banyak yang berlaku sepanjang tempoh COVID itu yang mana mereka tidak dapat menyertai kejohanan dan berdepan kekangan untuk berlatih.
“Jadi, kali ini ia akan menjadi penanda aras untuk menilai prestasi sebenar atlet negara berbanding dengan negara lain di Asia Tenggara. Berkenaan sasaran, ia akan diumumkan selepas penelitizn dan perbincangan bersama MSN dan ISN,” katanya dalam sidang media Majlis Pengumuman Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja di sini hari ini.
Untuk rekod, pada edisi terakhir di Hanoi tahun lalu, Malaysia mengakhiri saingan di kedudukan keenam keseluruhan dengan mengutip 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa.
Menurut Mohamad Norza, proses saringan dalam Jawatankuasa Pemilihan MOM yang bersidang pada 14 Februari dan 3 Mac lalu menyaksikan hanya 390 atlet dan 150 pegawai memenuhi kriteria kelayakan Kategori A.
Bagaimanapun katanya, jawatankuasa berkenaan bersetuju meluluskan penyertaan 287 atlet dan 87 pegawai pasukan mengikut Kategori B selepas mengambil kira permohonan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), dengan syarat persatuan membiayai latihan dan perjalanan ke Kemboja.
Olahraga membentuk skuad terbesar ke Kemboja, dengan 34 atlet yang layak mengikut Kategori A dan 31 lagi di bawah Kategori B sebagai persiapan menyediakan skuad berwibawa pada Sukan Asia Tenggara 2025 dan 2027.-UTUSAN ONLINE