PETALING JAYA: Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali menasihatkan persatuan-persatuan sukan yang menghantar atlet ke temasya dwitahunan Mei depan tidak meletakkan sasaran pingat ‘syok sendiri’.
Tegasnya, biarlah sasaran itu realistik berdasarkan prestasi dan kemampuan atlet-atlet yang akan menggalas cabaran di temasya berkenaan.
Tambah Nasir, mesyuarat pembentangan itu juga bakal menentukan sasaran kutipan keseluruhan pingat emas kontinjen Malaysia di Sukan SEA negara yang bakal diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Kekeliruan berlaku dalam kalangan atlet olahraga negara apabila pihak KOM menerusi presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim menyasarkan kutipan 10 pingat emas di Phnom Penh Mei depan, namun sehingga kini masih belum memperincikan atlet dan acara yang bakal menjadi prospek untuk diletakkan sandaran tersebut.
“Kita akan adakan satu mesyuarat nanti dan tengok semula sasaran 10 emas yang ditetapkan sebelum ini. Kita akan jumpa sekali dengan persatuan dan dapatkan semula sasaran di Kemboja, mungkin dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.
“Ia perlu dinilai semula kerana sebelum ini ia (sasaran) dibuat melibatkan Azeem (Fahmi). Bukan kata ia tidak relevan, 10 pingat emas itu relevan tetapi kita hanya mahu lihat semula,” jelas Nasir yang ditemui ketika melakukan lawatan latihan skuad lari berhalangan di Petaling Jaya semalam.
Nasir juga tegaskan penilaian semula ini tidak hanya dilakukan kepada KOM sahaja, namun turut melibatkan keseluruhan 34 jenis sukan yang bakal disertai Malaysia di Phnom Penh nanti.
Baginya, biarpun Malaysia sedang merangka untuk mendapatkan jumlah kutipan yang jauh lebih tinggi dari pencapaian di Hanoi tahun lalu, dia tegaskan sasaran yang diletakkan oleh persatuan sukan harus realistik tetapi berdaya saing.
Pencapaian Malaysia di Sukan SEA Hanoi 2021 tahun lalu disifatkan sebagai prestasi terburuk sejak tahun 1959 kerana hanya mampu membawa pulang 39 pingat emas selepas menghantar 589 atlet ke temasya itu.
Bagaimanpun Nasir akui faktor itu didorong oleh situasi semasa yang baru sahaja pulih daripada wabak Covid19, namun keadaan kini sudah semakin baik dengan kebanyakkan atlet juga sudah pun kembali mendapat rentak di pentas antarabangsa.
“Sukan-sukan lain juga akan dinilai semula. Kita akan bermesyuarat untuk pastikan sasaran yang ditentukan adalah realistik, bukannya syok sendiri atau demi memuaskan hati kita.
“Kita akan minta persatuan berikan sasaran yang realistik serta boleh dicapai. Memang kita perlu beri tekanan kerana atlet-atlet tidak boleh berada dalam zon selesa, mereka perlu diberi tekanan,” tambah Nasir.
Pada edisi lalu di Hanoi, skuad olahraga kebangsaan pada Sukan SEA Vietnam membawa pulang lima emas sekali gus menepati sasaran ditetapkan KOM.-UTUSAN