KOTA KINABALU: Skuad Sabah meneruskan rekod kemenangan mereka dalam Liga Super musim ini apabila mudah mengatasi Kelantan United 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Likas sebentar tadi.
Anak buah Datuk Ong Kim Swee menggunakan kelebihan di laman sendiri untuk beraksi dengan baik, dan mereka berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke 22 setelah Daniel Ting dijatuhkan dalam kawasan penalti Kelantan United.
Penyerang kebangsaan, Daren Lok tindak menghadapi masalah untuk mengatasi penjaga gol pelawat, Ahmad Asyraaf Omar sekaligus meletakkan tuan rumah di hadapan.
Empat minit berselang, giliran awang import dari Korea Selatan, Park Tae Su menggandakan jaringan buat Sabah untuk tuan rumah semakin selesa di hadapan untuk menutup tirai aksi di babak pertama.
Sang Badak tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila hanya memerlukan dua minit selepas perlawanan dimulakan pada babak kedua menerusi Telmo Castanheira yang menanduk masuk hantara silang Daniel Ting untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Penyerang veteran, Indra Putra Mahyuddin memastikan Kelantan United tidak pulang dengan tangan kosong apabila meledak gol saguhati pada minit akhir perlawanan menerusi sepakan percuma dari jarak jauh sebelum wisel penamat dibunyikan.
Ini kemenangan kedua Sabah dalam saingan Liga Super selepas mereka cemerlang membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-0 dalam perlawanan pembukaan tempohari.
Untuk Kelantan United, ini kekalahan kedua berturut-turut buat pasukan Pantai Timur itu selepas tewas tipis kepada Selangor pada Ahad lalu.
Selepas ini Sabah bakal terbang ke Sarawak untuk berentap dengan Kuching City pada Isnin depan, manakala Kelantan United pula akan melayan kunjungan Perak di Kota Bahru.