RIYADH: Cristiano Ronaldo mengamuk dengan menyepak botol-botol air minuman selepas tewas dalam perlawanan liga pertamanya sejak tiba di Arab Saudi.
Kapten Portugal berusia 38 tahun itu menunjukkan kemarahan selepas kelabnya, Al-Nassr dikalahkan 1-0 oleh pencabar rapat, Al-Ittihad di tempat lawan semalam.
Kekalahan tersebut menyaksikan Al-Ittihad merampas takhta liga dengan 47 mata, satu mata mengatasi Al-Nassr.
Awalnya, Ronaldo memuji dan menepuk tangan ke arah peminat, namun semasa keluar padang, dia mengangkat tangan ke udara dan menendang botol plastik ketika rakan sepasukannya cuba untuk menenangkan.
Kekalahan itu adalah yang kedua buat Al-Nassr dalam saingan Liga Pro Saudi musim ini, namun yang pertama buat Ronaldo sejak ketibaannya, Januari lalu.
Bekas bintang Real Madrid, Manchester United dan Juventus itu yang menandatangani kontrak bernilai 173 juta pound (RM931 juta) setahun telah meledak lapan gol dalam empat perlawanan, menjadikannya pemain terbaik Februari.
Bagaimanapun, dia gagal memecah kebuntuan semalam.
Penyerang Al-Ittihad, Romarinho meledak gol tunggal pada minit ke-80 bagi memastikan kemenangan dan aksi itu berlaku hanya 10 minit selepas dia melepaskan tendangan voli dari garisan.
Semasa jaringan itu dihasilkan, Ronaldo dilihat meletakkan tangan di pinggul dan wajahnya sangat kecewa dengan rakan sepasukan.
Ronaldo berjaya melakukan satu-satunya percuban tepat ke gawang lawan pada masa kecederaan, namun rembatannya berjaya dihalang oleh penjaga gol Al-Ittihad.
Dia kemudian dilihat melalui terowong stadium dengan tergesa-gesa dan dalam keadaan marah. – AGENSI