RIYADH: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas dinafikan peluang untuk menamatkan kemarau jaringan bersama Al-Nassr ketika menentang Abha pada suku akhir Piala Raja semalam.
Al-Nassr menang 3-1, namun Ronaldo, 38, gagal meledak gol dalam perlawanan ketiga berturut-turut, situasi yang membuatkannya tidak gembira sejurus tamat saingan.
Sami Al-Najei dan Abdullah Al-Khaibari meletakkan Al-Nassr mendahului 2-0, namun hasrat Ronaldo untuk menjaringkan gol tersekat selepas pengadil meniupkan wisel tamat babak pertama ketika dia sedang berlari melancarkan serangan balas.
Ini bukan kali pertama bekas bintang Real Madrid, Manchester United dan Juventus itu naik angin di dalam padang.
Dia turut menunjukkan kelakuan sama ketika pasukannya tewas tipis 0-1 kepada seteru utama, Al-Ittihad dalam saingan Liga Pro Saudi, minggu lalu dengan mengoyakkan lilitan kapten di lengan selepas perlawanan tamat.
Tidak cukup dengan itu, dia turut pernah membaling botol ke tepi garisan padang sebelum menuju ke terowong bilik persalinan.
Ronaldo sebelum ini sudah meledak lapan gol dalam empat penampilan Liga Pro Saudi, termasuk menjaringkan empat gol ketika berdepan Al-Wehda pada 10 Februar.
Dia juga meledak hatrik berdepan Damac, 25 Februari lalu. – AGENSI