PETALING JAYA: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (AM), Rexy Mainaky kurang senang dengan prestasi pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menamatkan siri Jelajah Eropah dengan buruk.
Di atas kertas, Aaron-Wooi Yik adalah pasangan No. 2 dunia, namun ranking tersebut tidak mencerminkan prestasi sebenar mereka.
Bermula di Terbuka Jerman yang menyaksikan mereka tersingkir pada pusingan kedua, disusuli kekalahan mengejut di pusingan pertama All England, dan terbaharu turun sebagai pilihan pertama Terbuka Switzerland, namun sekali lagi tewas seawal pusingan kedua.
Tahun lalu, Aaron-Wooi Yik berdepan dilema sama melibatkan masalah prestasi, namun ketika itu mereka konsisten untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir sebelum mencipta sejarah meraih gelaran beregu lelaki dunia di Tokyo pada Ogos.
Rexy tidak menolak kemungkinan Aaron-Wooi Yik masih terbuai-buai dengan kejayaan bergelar juara dunia yang sudah tujuh bulan berlalu.
“Saya tidak boleh memberi komen yang banyak, kerana saya harus tunggu mereka (Aaron-Wooi Yik) pulang dahulu. Saya tidak tahu apa dalam fikiran mereka.
“Jelajah Eropah kali ini, paling jauh mereka mara hanyalah pusingan kedua dan mereka menang dengan lawan tidak ternama. Sebagai juara dunia ini sangat memalukan, saya harap mereka juga ada perasaan malu.
“Kalau lihat dari ranking, sekurang-kurangnya mereka harus mara ke final tetapi pemikiran mereka merasakan diri mereka sebagai juara dunia, jadi terus menikmati dengan perkara itu,” jelas Rexy.
Aaron-Wooi Yik hampir lagi menamatkan kemarau kejuaraan dalam kalendar Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Terbuka India Januari lalu, namun dikecewakan pasangan China, Liang Wei Kang-Wang Chang.