PETALING JAYA: Pestabola Merdeka tidak boleh lagi dianggap sebagai kejohanan ‘biasa’ apabila penganjurannya kali ini mengambil kira kelebihan dan kepentingan yang bakal diraih Harimau Malaya.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd. Amin menjelaskan, kejohanan itu akan berlangsung pada Oktober ini dengan tiga negara rantau Asia seperti India, Palestin dan Lebanon menjadi pencabar pasukan negara.
Katanya, penyertaan pasukan yang berada pada ranking lebih tinggi memberi kelebihan kepada Malaysia untuk memperbaiki kedudukan.
“Pestabola Merdeka kembali dianjurkan tahun ini dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Malaysia) pada Oktober.
“Kali ini kita akan menggunakan format seperti Piala Raja Thailand melibatkan tiga pasukan jemputan, India, Palestin dan Lebanon.
“Setiap pasukan akan beraksi dua perlawanan yang mana pemenang bakal bertemu di pentas final manakala yang tewas akan bertemu pada aksi penentuan tempat ketiga.
“Ini kali pertama Pestabola Merdeka dianjurkan sejak 2013 dan kami akan buat dengan skala kecil dahulu tetapi ia tetap penting kerana menyumbangkan mata ranking skuad kebangsaan,” katanya selepas Mesyuarat Ketujuh Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM semalam.
Saingan Pestabola Merdeka bakal dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus menjadi pentas pertama untuk menguji padang baharu Zeon Zoysia yang dijangka siap sepenuhnya pada September depan.