Pesilat muda masih banyak kelemahan

Pesilat muda masih banyak kelemahan

MOHD. AL JUFFERI Jamari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masih banyak kelemahan terutama dari segi penguasaan gelanggang perlu diperbaiki para pesilat muda, jika mereka mahu meraih mata ketika bertempur.

Demikian kenyataan bekas pesilat negara, Al Jufferi Jamari ketika mengulas prestasi semasa skuad kebangsaan yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Silat Antarabangsa Premier Sarawak, di Petra Jaya, kelmarin.

Katanya, kemenangan 11 emas, dua perak dan dua gangsa itu merupakan petanda positif buat pesilat-pesilat negara memanaskan badan sebelum ke Sukan SEA 2023 di Kemboja, dua bulan lagi, namun mereka perlu didedahkan dengan konsep penjurian yang baharu bagimenajamkan cara pungutan mata.

Juara dunia empat kali itu menegaskan, antara langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan kesilapan adalah, setiap atlet perlu membuat analisa peribadi terhadap perlawanan mereka, termasuk Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) juga diharapkan dapat memberi penerangan mengenai cara meraih mata.

“Berdasarkan kejohanan itu, saya lihat mereka semua ada teknikal yang cemerlang. Mereka menendang, mengelak, itu mereka boleh lakukan, tetapi mereka kurang dari segi taktikal.

“Taktikal ini adalah bagaimana mereka kuasai gelanggang. Lagi pula sekarang dah guna konsep baharu, iaitu cuma ada tiga juri sahaja. Kalau dulu, lima orang. Jadi, di sebalik pandai menggunakan teknikal, mereka juga mesti bijak cari sudut pandang yang betul di mata juri untuk mendapatkan mata.

“Sebabnya, boleh jadi mereka sudah membuat serangan tetapi di mata juri aksi itu tidak layak mendapat mata. Jadi, setiap pesilat perlu menitik beratkan sudut pandang juri juga sebelum memutuskan melakukan apa-apa aksi.

“Bagi mengatasi masalah ini, saya cadangkan dua perkara. Pertama, setiap pesilat yang sudah berdaftar dengan Majlis Sukan Negara (MSN), mereka perlu buat analisa dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi mendapatkan data serangan dan lain-lain.

“Yang kedua, saya harap PESAKA juga akan memperbanyakkan penerangan mengenai konsep penjurian yang baharu ini agar pesilat lebih faham perkara yang patut dielak atau yang perlu ditambah baik supaya perlawanan berjalan lancar. Mereka perlu panggil juri dan wasit beri pendedahan ini kepada pesilat,” katanya.

Konsep penjurian baharu itu mula digunakan pada Sukan SEA Vietnam 2021, setelah diusulkan sejak 2019 oleh Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya