Penang FC tak panik

Penang FC tak panik

Wan Zack Haikal Wan Noor berjaya melepasi kawalan pemain Negeri Sembilan.- IHSAN PENANG FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kegagalan meraih mata penuh ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Bandaraya malam tadi dilihat tidak begitu menggusarkan pengendali Penang FC, Chong Yee Fatt ketika ini.

Menurut Yee Fatt, secara keseluruhannya, rata-rata pemain Penang telah memberikan persembahan yang baik untuk tempoh 90 minit perlawanan.

“Saya fikir saya harus memberi kredit kepada pasukan Negeri Sembilan terlebih dahulu kerana mereka bermain dengan sangat baik dan tersusun.

“Untuk Penang pula, mungkin para pemain saya sedikit tertekan kerana beraksi di tempat sendiri buat pertama kalinya musim ini (dalam Liga Super).

“Pada masa yang sama, kita sebenarnya tidak bermain secara normal (biasa) berbanding sebelum ini dan para pemain juga mungkin terlalu bersemangat untuk menjaringkan gol hingga melakukan beberapa kesilapan,” kata bekas jurulatih Perak itu.

Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan meskipun masing-masing mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol.

Ini kali kedua berturut-turut Penang merekodkan keputusan seri selepas bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mengikat Kuala Lumpur City 2-2 dalam aksi pertama Liga Super beberapa hari lalu.

Ditanya mengenai jentera tengah pasukannya yang dilihat kurang kreatif dalam mencipta peluang sepanjang perlawanan itu, Yee Fatt bagaimanapun tidak menganggap perkara tersebut sebagai satu masalah untuk skuad Harimau Kumbang ketika ini.

“Tidak semestinya sebab itu (pemain kurang kreatif). Beberapa pertukaran dibuat (khususnya di bahagian tengah) untuk memberi ‘kesegaran’ kepada pasukan.

“Ia sebenarnya telah berlaku sejak perlawanan pertama dan kini, ia berulang kembali. Apapun, saya berterima kasih kepada semua pemain saya kerana mereka telah menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya

Sementara itu, pengendali Negeri Sembilan, K. Devan berpuas hati dengan keputusan perlawanan itu kerana pasukannya berjaya mencuri satu mata berharga di tempat lawan tanpa melepaskan sebarang gol.

“Kita bermula dengan baik pada separuh masa pertama, namun, selepas pertukaran penjaga gol, saya nampak para pemain mula tertekan dan terikut-ikut dengan rentak permainan tuan rumah.

“Apapun, saya gembira kerana pemain telah menunjukkan komitmen yang baik sepanjang perlawanan termasuk berjaya bertahan dengan baik ketika diserang,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya