LUXEMBOURG: Pelumba basikal Itali, Antonio Tiberi digantung 20 hari tanpa gaji oleh pasukan Trek-Segafredo selepas Mahkamah San Marino mengesahkan dia bersalah membunuh seekor kucing menggunakan pistol.
Tiberi didenda 4,000 pound (RM22,000) atas perbuatannya, malah telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka di media sosial.
Pelumba berusia 21 tahun itu mengakui, tindakannya itu adalah kejam dan tidak bertanggungjawab.
Dia turut menjelaskan tidak mempunyai niat untuk membunuh kucing tersebut.
Tiberi dalam kenyataannya turut menyifatkan insiden itu satu kemalangan.
“Saya amat menyesal dengan apa telah terjadi. Menembak kucing satu perbuatan amat bodoh dan tidak bertanggungjawab, saya hanya menyedari betapa bahaya dan seriusnya perbuatan saya itu selepas memikirkannya kembali.
“Saya tidak mahu mencari alasan, saya mengakuinya, atas dasar tanggungjawab dan insaf, serta kesannya di atas perbuatan saya.
“Jika sebelum ini saya langsung tidak pernah membincangkan perkara ini secara umum, ia adalah disebabkan saya berasa sangat malu dan menyesal,” jelas Tiberi.
I deeply regret my shamful actions. I did something tremendously stupid and irresponsible. I really want to apologize everyone 🙏 pic.twitter.com/ooO1JGwsE3
— Antonio Tiberi (@AntonioTiberi4) February 28, 2023
Kucing itu merupakan milik Menteri Pelancongan dan Pos San Marino, Federico Pedini Amati.
Atas dasar itu, Tiberi turut mengambil keputusan untuk menderma wang hadiah kemenangan yang diraihnya musim ini kepada beberapa persatuan yang menguruskan kucing terbiar di San Marino.
Dia juga akan meluangkan masa untuk terlibat dengan kerja-kerja amal bersama persatuan berkenaan.
Penggantungan yang dikenakan terhadap Tiberi menyaksikan pelumba muda itu bakal terlepas beberapa perlumbaan, sementara pasukannya, Trek-Segafredo pula akan mengambil tindakan selanjutnya ke atasnya jika perlu. – AGENSI