KUALA LUMPUR: Melihat patung lilinnya berdiri megah, Datuk Lee Chong Wei mengalirkan air mata kerana ia mengingatkannya kepada jatuh bangun sepanjang bergelar pemain badminton negara.
Paling membuatkan legenda badminton negara itu sebak adalah ketika bercerita tentang perjalanannya ke Sukan Olimpik 2016 di Brazil yang amat menyeksakan apabila dia berdepan penggantungan ekoran isu doping hingga jatuh ke ranking 182 dunia.
Kata Chong Wei, dia berjaya berdiri teguh kerana adanya sokongan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan para penaja yang tidak pernah ‘lari’ di saat dia dalam kesukaran.
“Pada masa itu, Tan Sri Norza (Zakaria, Presiden BAM), BAM, MSN, penaja, mereka semua tak tinggalkan saya.
“Saya tak dapat bertanding dalam Super Series, saya ingat lagi, saya cuma ada jurulatih dan fisiologi bersama dalam kejohanan di Kanada dan Amerika Syarikat. Cuma kami tiga orang saja, bila teringat semula, saya sedih melalui kenangan itu,” katanya dalam Majlis Pelancaran Patung Lilin Berlepas ke Madame Tussaud Hong Kong di ibu negara semalam.
Kata Chong Wei, 40, sokongan pasukan dan orang sekeliling sangat membantu sepanjang 19 tahun kerjayanya yang gemilang.
Mengenang kembali detik ketika bermain di bawah kendalian beberapa jurulatih termasuk dari China, Li Mao, sebelum bertukar ke tangan anak-anak Sidek, Datuk Misbun dan Datuk Rashid, kemudian Tey Seu Bock dan yang terakhir Hendrawan, Chong Wei menegaskan, dia hanya dapat berdiri di kedudukan tinggi kini kerana kepatuhannya sebagai anak murid serta bantuan tanpa jemu oleh guru-gurunya.
“Kalau kita tengok atlet lain pun macam Rafael Nadal, Tiger Woods, mereka semua pun ada jurulatih sebelum jadi juara dunia. Semua jurulatih ini adalah bagaimana mereka berbincang, termasuk saya pun semasa di BAM, saya banyak kali berbincang dengan mereka.
“Kami pun ada bergaduh, tak puas hati. Tetapi kami akan duduk semeja dan cari penyelesaian bersama-sama. Perjalanan saya rollover coaster bersama mereka dulu. Bagi saya, apa-apa pun kita memang perlukan jurulatih sebab mereka yang akan betulkan kita.
“Yang saya nampak, bila ada perbincangan, BAM juga banyak berubah untuk saya. Saya tidak pernah mengatakan tidak kepada mereka, tetapi mereka pastikan semua rancangan akan sesuai dengan kemampuan saya.
“Sejujurnya, tak mudah (melalui perbincangan itu). Saya pun bukan sentiasa betul, bila kami bergaduh, kami cuba selesaikan. Saya harap generasi sekarang bersedia lalui turun naik seperti itu juga,” kata pemenang empat pingat perak Sukan Olimpik itu
Chong Wei merupakan selebriti sukan Malaysia pertama dijadikan patung lilin untuk dipamerkan di muzium berkenaan, dan juga individu negara kedua selepas Tan Sri Michelle Yeoh.