Pasukan Liga M terbaik dapat ‘duit’ lebih

Pasukan Liga M terbaik dapat ‘duit’ lebih

STUART RAMALINGAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 14 pasukan yang bersaing dalam Liga Super 2023 akan mendapat durian runtuh selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan mereka bakal menerima peningkatan agihan pendapatan sebanyak 96.55 peratus berbanding musim lalu.

Buat kali pertama, MFL juga akan memperkenalkan agihan pendapatan berasaskan merit daripada hasil pendapatan tahun ini mengikut kedudukan teratas sehingga kelab yang berada di tempat ke-14 liga.

Bagi musim lalu, agihan dilakukan berdasarkan dua asas iaitu agihan sama rata sebanyak RM500,000 kepada setiap kelab Liga Super dan RM250,000 kepada setiap kelab Liga Perdana manakala hanya kelab yang berada di kedudukan tiga teratas Liga Super atau Liga Perdana akan memperoleh hadiah wang tunai tambahan.

“Bagi musim ini, MFL menyediakan mekanisme agihan yang akan melihat semua pasukan mengetahui dengan jelas peningkatan pulangan mereka berdasarkan kedudukan di tangga Liga.

“MFL percaya pengagihan mengikut merit ini adalah langkah yang jelas bagi mendorong setiap kelab untuk berusaha mencapai prestasi terbaik sehingga akhir musim kerana setiap kedudukan di dalam Liga mempunyai nilai ganjaran.

“Sistem pengagihan kepada 14 kelab Liga Super 2023 ini bakal menyaksikan peningkatan sebanyak lebih 96.55 peratus iaitu RM15.675 juta berbanding RM7.975 juta yang diagihkan kepada 14 kelab yang sama musim lalu.

“Agihan musim ini akan membolehkan enam kelab terbaik dalam liga memiliki peluang untuk membawa pulang lebih RM1 juta manakala pasukan yang menduduki kedudukan paling rendah juga mampu membawa pulang sekurang-kurangnya RM600,000 berbanding hanya RM250,000 pada 2022,” kata MFL dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata, peningkatan sebanyak RM6.95 juta itu akan diagihkan kepada setiap kelab berdasarkan prestasi masing-masing di penghujung musim ini.

“Ia tidak termasuk wang kemenangan kepada juara dan naib juara Piala MFL sebanyak RM500,000 dan RM250,000 sekali gus menjadikan jumlah agihan tambahan keseluruhan sebanyak RM7,700,000.

“Sistem agihan pendapatan berdasarkan merit ini sudah dibentangkan kepada semua Rakan Kongsi Liga dalam pertemuan bersama CEO kelab-kelab Liga Malaysia pada 15 Februari lalu di mana sistem agihan pendapatan ini dilihat lebih adil buat kelab-kelab yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang musim Liga Malaysia 2023.

“Pembentangan itu mendapat reaksi cukup baik dan mereka menerima cadangan agihan pendapatan berdasarkan merit untuk diperkenalkan tahun ini,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya