PETALING JAYA: Gergasi futsal pantai Timur, Pahang Rangers semakin bernafsu untuk terus mempertahankan kedudukan mereka sebagai pendahulu Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 apabila mahu menjadikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai mangsa terbaru mereka menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Tertutup Panasonic, Shah Alam esok.
Pengendali Pahang Rangers, Gerard Casas lega apabila sudah mendapat ramuan untuk mengubati penyakit lama yang dihadapi pasukannya sejak musim lalu, iaitu ketajaman di hadapan gawang.
Buktinya, biarpun baru sahaja mengharungi tiga perlawanan untuk musim ini, Pahang Rangers telah pun meledak keseluruhan 24 gol, dan hanya bolos sebanyak empat kali sahaja.
Lebih menarik, awang import baru dari Iran, Amin Nasrollah Zadeh Hosseinali kini menerajui senarai penjaring terbanyak apabila sudah pun meledak keseluruhan lima gol.
“Kami menderita musim lalu kerana banyak mempersiakan peluang di hadapan gol, dan ia menjadi masalah yang besar untuk kami.
“Jadi sejak hari pertama pra musim tahun ini, kami bekerja keras untuk menajamkan lagi jentera serangan kami, dan saya amat gembira kami sudah berjaya memperbaikinya, cuma kini kami perlu ketatkan lagi barisan pertahanan untuk memastikan gawang kami tidak lagi bocor.
Biarpun atas kertas ATM berada di kedudukan tercorot apabila masih belum berupaya untuk meraih sebarang kemenangan dalam liga, Gerard tetap menegaskan kepada barisan pemainnya untuk tidak alpa bagi mengelakkan mereka dikejutkan lawan pada pertemuan petang ini.
“Saya tidak mahu para pemain terus dibuai dengan kedudukan kami ketika ini kerana tumpuannya masih sama, satu perlawanan demi satu perlawanan dengan keutamaan meraih tiga mata untuk setiap perlawanan yang kami harungi.
“Selepas itu barulah kami mungkin akan fikir mengenai piala dan sebagainya,” jelas Casas mengenai peluang pasukannya untuk merebut kejuaraan musim ini daripada penyandang, Selangor MAC.