PETALING JAYA: Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui berdepan kesukaran untuk membawa pemain menyertai pasukan Harimau Selatan pada awal penubuhannya pada 2013.
Tunku Ismail juga turut mengakui bahawa beliau tidak memiliki pasukan pemantau untuk memburu pemain tempatan sebaliknya mengenali sendiri pemain yang dimahukan dalam pasukannya ketika itu.
“Pada tahun 2013, saya tidak kenal satu pun pemain dalam Malaysia tetapi sejak 2014, saya lebih kenal pemain dan mula merekrut pemain. Tiada orang nak masuk JDT pada mula-mula dahulu kerana tiada keyakinan.
“Mereka bimbang bola sepak adalah hobi sementara dan takut tidak bayar gaji dan ada masalah pada masa akan datang. Susah juga dan tidak begitu senang yakinkan pemain untuk masuk JDT,” kata Tunku Ismail yang ditemuramah dalam Bekpes Hot di Hot FM.
Dalam pada itu, Tunku Ismail juga turut mengakui hanya berpuas hati dengan prestasi ditampilkan JDT bermula tahun 2020 apabila pemain sudah mula mampu beradaptasi dengan falsafah pasukan.
“Saya rasa mulai 2020, barulah saya betul-betul berpuas hati dengan cara permainan dan terapkan falsafah kami. Untuk adakan satu falsafah itu, bukan buat falsafah sahaja dan ai memerlukan kualiti pemain yang boleh terapkan taktikal tersebut.
“Saya suka pasukan yang padat, tak suka ada ‘gap’ kat tengah. Sebagai contoh, kita kena agresif dalam serangan balas, tetapi kita juga kena bertahan sebagai satu unit. Itu secara asas falsafah yang kami terapkan dalam JDT,” katanya.-UTUSAN ONLINE