SEREMBAN: Juara Liga Hoki Wanita Malaysia dua tahun berturut-turut, Negeri Sembilan enggan terlalu dibuai dengan kemenangan selesa 4-1 ke atas Terengganu-MSNT (TLHT-MSNT) pada separuh akhir pertama Piala Vivian May Soars semalam.
Anak-anak buah K. Rajan sebaliknya berhati-hati dengan kebangkitan yang mungkin dilakukan TLHT-MSNT apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi kedua di Stadium Nasional, Bulit Jalil hari ini.
Negeri Sembilan yang baru mempertahankan kejuaraan liga, Sabtu lalu juga berazam untuk mempamerkan aksi lebih kemas hari ini biarpun tidak banyak kelemahan ditunjukkan semalam.
“Kita lihat seolah-olah akan menang besar dengan empat gol dalam dua suku awal tetapi kita tidak dapat menjaringkan gol pada dua suku terakhir.
“Pemain tidak menunjukkan prestasi sebenar mereka dan ini akan diperbaiki sebelum pusingan kedua esok (Khamis),” kata Rajan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Negeri Sembilan menjaringkan tiga gol pada suku pertama dan satu gol pada suku kedua sebelum THLT-MSNT menjaringkan gol pada suku yang sama.
Penyerang kebangsaan, Nuramirah Shakirah Zulkifli menjaringkan gol pertama seawal minit kedua disusuli gol Nur Afiqah Syahzani Azhar seminit kemudian.
Fatin Shafika Mohd. Sukri menyempurnakan gol daripada pukulan sudut penalti pada minit keenam manakala Nur Afiqah meletakkan Negeri Sembilan pada kedudukan selesa dengan gol pada minit ke-23.
Pasukan lawan yang bangkit daripada ketinggalan 0-4 berjaya meraih gol pada minit ke-29 hasil jaringan Nur Syahirah Azwan.
Kedua-dua pasukan tidak berjaya meraih sebarang gol pada suku ketiga dan keempat permainan.
Rajan berkata, dalam perlawanan semalam, pasukan Negeri Sembilan turut menurunkan Hanis Nadiah Onn yang baru pulih daripada kecederaan untuk tempoh tertentu.
“Kita harap Hanis Nadiah akan benar-benar cergas dalam sebelum pertemuan esok dan sekiranya kita berjaya ke perlawanan akhir Sabtu ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE