PETALING JAYA: Pengadil Malaysia, Nazmi Nasaruddin mengharumkan nama negara apabila dipilih untuk mengadili aksi final Piala Asia Bawah 20 (B-20) di Uzbekistan semalam.
Pemilihan Nazmi itu membuktikan Malaysia masih mempunyai pengadil yang berkualiti walaupun segelintir pengadil Liga Malaysia (Liga M) dikecam ekoran prestasi yang tidak memuaskan.
Kecemerlangan di peringkat Asia itu sekali gus menunjukkan bahawa tidak semua pengadil tempatan kurang berkualiti.
Selain Nazmi seorang lagi pengadil negara turut terbabit dalam perlawanan akhir itu apabila Zairul Khalil Tan dipilih untuk menjadi penjaga garisan.
Dua pengadil lagi ialah pegawai dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Ahmed Alrashdi (penjaga garisan) dan Yahya Almulla (pengadil keempat).
Terdahulu hari ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantung pengadil tempatan, Zulkarnain Zakaria serta merta yang didakwa terkhilaf dalam membuat keputusan ketika aksi Liga Super antara Sabah FC dan Penang FC di Stadium Likas, Jumaat lalu.
Keputusan pantas FAM itu seharusnya dipuji bagi menyelamatkan imej dan integriti badan pengadilan bola sepak tempatan agar terus diyakini semua pihak.
Selepas aksi final Piala Asia B-20 itu, Nazmi dan Zairul menerima medal penghargaan di atas khidmat cemerlang mereka dalam mengadili perlawanan akhir itu.
Dalam aksi itu, Uzbekistan muncul juara menewaskan Iraq menerusi gol tunggal perlawanan yang disumbangkan Rahmonaliyev selepas tenang menyempurnakan sepakan penalti di minit 72.-UTUSAN ONLINE