KUALA NERUS: Nafuzi Zain amat teruja untuk bertemu semula pasukan yang pernah dibimbing selama lima tahun, Terengganu FC apabila membawa kelab baharunya, Kedah Darul Aman (KDA) menentang Sang Penyu dalam aksi Liga Super di Alor Setar malam ini.
Bagi penyokong Terengganu, pertemuan dengan jurulatih yang amat ‘disayangi’ mengimbau nostalgia, apatah lagi Nafuzi meninggalkan pasukan itu selepas cemerlang membawa mereka muncul naib juara Liga Super dan Piala FA musim lalu.
Taktikal dan falsafah Nafuzi amat serasi dengan Terengganu, namun takdir telah membawanya ke Kedah musim ini, di mana dia memulakan kempen dengan langkah kanan apabila membantu Sang Kenari membelasah Perak FC 4-1, Sabtu lalu.
Pengendali baharu Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner tidak menafikan, pertemuan dengan Nafuzi akan mendorong penyokong membuat perbandingan siapa lebih bagus atau hebat, namun dia enggan bermain sentimen, apatah lagi ketika pasukannya mencari kemenangan pertama musim ini.
Tegas jurulatih dari Croatia itu yang mesra disapa Tomi, malam ini adalah pertembungan Kedah menentang Terengganu, bukan Nafuzi melawan Steinbruckner.
“Ramai yang menantikan perlawanan ini, namun ia bukan persaingan untuk menentukan siapa lebih hebat antara saya dan Nafuzi, ia adalah aksi Terengganu melawan Kedah.
“Nafuzi adalah jurulatih yang bagus dan ada pasukan yang berkualiti bersama Kedah tetapi kami memburu tiga mata, jadi saya menjangkakan perlawanan sengit dan sukar,” kata Steinbruckner yang menyaksikan pasukannya tewas 2-0 kepada Johor Darul Ta’zim dalam aksi pembukaan minggu lalu.