PETALING JAYA: Sedih melihat kehadiran penonton ke stadium sepanjang Liga Hoki Malaysia (MHL) amat sedikit biarpun perlawanan disajikan berkualiti tinggi, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan melakukan promosi lebih agresif.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MHC yang baharu, Nishel Kumar berkata, pelan bagi menarik peminat ke stadium sudah dirangka, namun ia memerlukan perbincangan dengan beberapa entiti lain untuk dijayakan.
Katanya, kehadiran penonton ke Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil serta venue lain amat sedikit biarpun persaingan liga sangat sengit, malah tiada bayaran dikenakan sejak dulu lagi.
“Antara perkara yang saya ingin lakukan adalah meramaikan kehadiran penonton ke stadium kerana ketika ini jumlahnya terlalu sedikit, dan ada perlawanan langsung tiada penonton.
“Ketika majlis bersama NHDP (Program Pembangunan Hoki Negara), saya berbincang dengan wakil mereka dan Majlis Sukan Negara (MSN) tentang cara membawa pemain-pemain muda datang menyaksikan liga hoki kebangsaan.
“Ini bagi menyemarakkan semangat mereka terhadap hoki. Kami juga memikirkan kaedah lain untuk menarik orang ramai turun padang memberi sokongan, namun perinciannya akan muktamadkan kelak,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Selain merencana strategi menarik penonton ke stadium, Nishel yang sebelum ini berkhidmat selama 17 tahun bersama Institut Sukan Negara (ISN) turut dipertanggunjawab untuk merancang persediaan Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung 5 hingga 16 Disember depan.
ata Nishel, beliau mahu menjadi penghubung kepada pihak pengurusan dan barisan pemain bagi mewujudkan suasana yang harmoni dalam badan induk itu, memandangkan kebanyakkan jurulatih yang berada dalam kem kebangsaan ketika ini adalah rakan sepasukannya ketika bergelar pemain antara 1996 sehingga 2004.
“Mungkin dengan kehadiran saya, pemain dan jurulatih akan lebih selesa untuk berbicara dengan pihak pengurusan kerana kebanyakkan mereka adalah rakan-rakan saya ketika saya menjadi pemain suatu ketika dahulu.
“Ada perkara yang mereka mahu atau suarakan terbatas atas beberapa faktor, jadi dengan adanya di posisi ini, saya berharap mampu menjadi penghubung kepada pengurusan dan juga pasukan kebangsaan,” tambah Nishel.