LONDON: Juara Formula Satu (F1) dunia tujuh kali, Lewis Hamilton mengingatkan prinsipal Mercedes, Toto Wolf bahawa pasukan mereka sudah ketinggalan 12 bulan di belakang seteru utama, Red Bull.
Hamilton jelas kecewa kerana terpaksa berdepan situasi sama seperti musim lalu apabila terus mengalami masalah kereta biarpun mereka kini menggunakan model baharu W14.
Pencabar utamanya, Max Verstappen dari Red Bull sebaliknya berjaya mengejar dari kedudukan ke-15 pada Grand Prix (GP) Arab Saudi, 20 Mac lalu untuk meraih kedudukan kedua di belakang rakan sepasukan, Sergio Perez.
Lebih perit, Verstappen juga berjaya melintas Hamilton yang terpaksa akur di tempat kelima.
Hamilton turut mengakui jentera dimiliki Red Bull paling laju pernah lihat sepanjang 17 musim berlumba dalam F1.
“Saya lihat masalah kami mungkin memakan masa enam hingga 12 bulan untuk diselesaikan, kerana itulah tempoh yang kami sedar apa yang patut kami lakukan terhadap jentera kami pada 2022.
“Justeru kami harus menggandakan usaha kami untuk membina sebuah jentera yang lebih jitu.
“Jika kami faham di mana kami mahu meletakkan jentera kami, maka langkah yang perlu diambil adalah amat besar tetapi kami perlu pastikan ia sempurna,” jelas Hamilton. – AGENSI