MADRID: Selepas menampilkan prestasi cemerlang musim lalu, Liverpool menutup kempen 2022-2023 tanpa sebarang trofi selepas disingkirkan oleh Real Madrid pada saingan Liga Juara-Juara, sebentar tadi.
Tiba di Madrid dengan misi mencari sekurang-kurang tiga gol, Reds bukan sahaja gagal mendapatkan jaringan, malah tumpas 1-0 di Santiago Bernabeu.
Gol tunggal Karim Benzema pada minit ke-78 memastikan juara bertahan, Real mara ke suku akhir menerusi agregat 6-2 selepas menang 5-2 di pada aksi pertama, pusingan 16 akhir Anfield, bulan lalu.
Madrid & Napoli complete quarter-final lineup ✔️#UCL pic.twitter.com/sBn0aFL7SB
— UEFA Champions League (@ChampionsLeague) March 15, 2023
Kekalahan itu menyaksikan anak-anak buah Jurgen Klopp gagal melunaskan dendam terhadap lawan yang mengecewakan mereka pada perlawanan akhir tahun lalu.
Liverpool yang sudah tersingkir dalam semua pertandingan kini hanya mampu memberi tumpuan kepada usaha menempatkan diri di kedudukan empat terbaik Liga Perdana Inggeris bagi mencari tiket Liga Juara-Juara musim depan.
Selepas dikejutkan 1-0 oleh Bournemouth dalam aksi terakhir liga, Sabtu lalu, mereka kini menduduki tangga keenam. – AGENSI