LONDON: Kejayaan Liverpool membelasah Manchester United 7-0 minggu lalu, dilihat bakal mengubah kemerosotan prestasi Reds, sebaliknya detik manis itu hanya sementara apabila mereka kembali ke dunia nyata.
Prestasi tidak konsisten Liverpool kembali semula selepas tewas mengejut kepada pasukan di tangga ke-18 Liga Perdana Inggeris (EPL), Bournemouth 1-0 di Stadium Vitality, kelmarin.
Dalam pada itu, kegagalan Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti turut menjadi faktor kekalahan kelapan Reds selepas mengharungi 26 perlawanan liga.
Kekalahan itu menyaksikan pesta penyokong Liverpool telah berakhir selepas penyerang tuan rumah, Philip Billings meledak gol tunggal perlawanan.
Reds berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-68 apabila Adam Smith menghalang percubaan Diogo Jota dengan tangannya dan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan sepakan penalti untuk Liverpool.
Salah tampil mengambil sepakan tetapi percubaanya jauh tersasar ke tempat duduk penonton dan The Cherries terus bertahan untuk memastikan tiga mata menjadi milik tuan rumah.
Ia adalah sepakan penalti pertama Liverpool dalam saingan liga musim ini, selepas kali terakhir menerimanya pada April 2022.
“Kali terakhir kami mendapat penalti, saya tidak ingat bila, sekurang-kurangnya dalam liga, ia sudah terlalu lama.
“Sekiranya penalti itu disempurnakan, mungkin permainan akan berpihak kepada kami tetapi ia tidak menjadikan persembahan kami lebih baik, cuma sekurang-kurangnya akan mengubah keputusan.
“Dia menjaringkan banyak gol tetapi gagal menyempurnakan sepakan penalti, itu lumrah dalam kehidupan,” kata pengendali Reds, Jurgen Klopp.
Joe Cole juga terkejut dengan sepakan penalti Salah selepas melihat pemain Mesir itu membelasah United Ahad lalu.
“Ia bukan perkara biasa buatnya terutama selepas apa yang dia lakukan minggu lalu, dia kelihatan begitu yakin.
“Jarang pemain dengan kualiti sebegitu gagal menyempurnakan sepakan penalti. Liverpool mungkin ada masalah mentaliti apabila berdepan kelab kecil,” kata Cole.- AGENSI