PETALING JAYA: Kegagalan penyerang import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira dan Jonathan Balotelli memberi impak besar kepada pasukan, bukan sahaja mengecewakan penyokong, malah bekas jurulatih Sang Kenari, Azraai Khor Abdullah.
Azraai memiliki jentera serangan yang sentiasa menjadi igauan pertahanan lawan, diketuai penyerang import dari Saint Vincent, Marlon Alex James ketika mengemudi Kedah meraih gelaran double treble pada musim 2007 dan 2008.
Berbanding serangan yang dimiliki Sang Kenari ketika ini, ia dilihat agak tumpul, terutama sentuhan penyudah penyerang Brazil, Lira serta Balotelli.
“Kalau kita tengok daripada segi serangan Kedah, kombinasi masih belum cukup. Mungkin masih awal tetapi mereka perlu bertindak segera.
“Masa lawan Perak kita lawan sembilan orang baru menang besar, lawan Terengganu dapat gol minit akhir, lawan PDRM kita kalah (0-1).
“Persoalannya kelibat Lira dengan Balotelli langsung tak nampak beri kelebihan buat Kedah.
“Dengan kewangan yang kukuh, patut carilah pemain yang betul-betul bagus. Melihat rekod jaringan lampau mereka pun, kita sudah boleh buat tapisan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Lira, 29, pemain keenam termahal Liga Malaysia dengan nilai RM2.1 juta, manakala Balotelli (RM1.6 juta).
Ditanya mengenai tempoh masa yang sepatutnya diberikan kepada Lira dan Balotelli menunjukkan prestasi sebenar, Azraai berkata, mereka patut sudah memberi impak.
“Cukup dah kot, sudah bermain di Turkiye (pramusim) balik main di Malaysia, tiga aksi Liga Super tapi apa yang kita nampak daripada dia (Lira), biasa sahaja.
“Kita sudah sain (menandatangani mereka), mau tak mau kita kena bagi peluang sampai jendela perpindahan.
“Buat masa sekarang kena sabar dan bagi mereka terus main tapi kalau sampai tahap tak boleh pi kita kena cari penyerang lain,” ujarnya.
Lira dan Jonathan bermula baik pada aksi pertama dengan meledak satu gol ketika menumpaskan Perak FC 4-1 dalam saingan Liga Super.
Begitupun dalam aksi seterusnya, kedua-dua penyerang itu tenggelam, malah gagal membantu Kedah dalam kempen Piala FA apabila disingkirkan Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 selepas terikat 2-2 pada masa sebenar di Stadium Darul Aman, kelmarin.