SEREMBAN: Laluan lebih landai bagi acara berbasikal lebuh raya dalam Sukan SEA Kemboja, Mei ini tidak bermakna peluang Malaysia untuk membawa pulang pingat emas lebih mudah.
Pelumba basikal wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir berkata, laluan yang lebih mudah berbanding temasya Hanoi, tahun lalu juga akan dimanfaatkan oleh pelumba negara lain.
“Berbanding di Hanoi, laluan di Kemboja ini semua rata, di situ kita sebagai pelumba boleh tengok pelumpa pasukan lain, siapa yang top sprinter (pemecut terbaik).
“Bagi pasukan negara, semua boleh kayuh di laluan landai tetapi mahu dikatakan mudah tidak juga. Apa yang penting kami kena lebih banyak berkomunikasi antara satu sama lain kerana itu yang akan bawa kami ke depan pada hari perlumbaan.
“Pasukan kena ada kesefahaman antara satu sama lain, kita tidak tahu keadaan masing-masing pada waktu itu, baik atau tidak jadi kena saling berkomunikasi,” katanya di Nilai semalam.
Dia ditemui ketika menerima lawatan Timbalan Chef de Mission (CDM) Ke Sukan SEA Kemboja, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee.
Dalam pada itu, atlet kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu berkata, skuad kebangsaan akan ke Thailand pada 6 April ini bagi menghadapi Tour Of Thailand, diikuti kem latihan di negara yang sama yang akan menjadi medan terakhir sebelum ke Kemboja.
Ketika di Hanoi tahun lalu, Nur Aisyah meraih dua pingat perak dalam lebuh raya wanita individu dan berpasukan.
Di Kemboja nanti, dia akan bersaing bagi acara lebuh raya wanita individu dan kriterium wanita.
Sementara itu, jurulatih skuad negara, Amir Mustafa Rusli berkata, kejohanan di Tour of Thailand yang akan disertai kelak akan jadi kayu pengukur tahap sebenar pelumba negara sebelum memburu pingat di Sukan SEA Kemboja.
“Di Thailand itu nanti akan ada tiga peringkat untuk pelumba wanita dan tujuk peringkat untuk pelumba lelaki, di situ kita boleh pelumba-pelumba lain dari negara yang akan turut menyertai Sukan SEA seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, di situ kita boleh lihat tahap pelumba negara,” katanya.
Dalam pada itu menurut beliau, setakat ini skuad berbasikal lebuh raya negara diletakkan sasaran untuk meraih dua pingat emas yang menyamai pencapaian di Hanoi.