PETALING JAYA: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan bertemu dengan semua atlet negara yang bakal beraksi dalam Sukan SEA 2023 esok bagi menjelaskan secara terperinci mengenai sasaran 10 pingat emas yang ditetapkan badan induk kebangsaan itu.
Menurut Pengurus Besar KOM, Nurhayati Karim, mereka menerima teguran jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin yang mahu mengetahui acara apa dan siapa diletakkan sasaran untuk meraih emas sepanjang temasya di Kemboja dari 5 hingga 17 Mei itu.
Kelmarin, Irfan, 27, yang merupakan pemenang lima pingat emas Sukan SEA berturut-turut mempersoalkan sasaran 10 emas yang dianggap terlalu tinggi ketika KOM tidak mempunyai perancangan rapi, apatah hanya meraih lima emas di Hanoi, tahun lalu.
“Semua pengurusan tertinggi KOM termasuk presiden (Datuk Seri Shahidan Kassim) akan menghadiri perjumpaan Sabtu ini kerana kita mahu menerangkan kepada atlet dan jurulatih tentang perancangan persatuan.
“Kami mahu semua pihak bersatu hati barulah kita boleh mencapai sasaran kami.
“Sasaran 10 pingat emas itu ibarat kita ibu bapa hantar anak ke sekolah, sudah pasti letak harapan untuk dapat 10 A dalam peperiksaan, barulah mereka bersemangat.
“Jadinya kita letak sasaran 10 emas itu dengan harapan ia akan menjadi cabaran buat atlet.
“Sasaran kita kena tinggi, tidak boleh rendah tetapi dalam masa sama, kami juga tidak mahu sasaran kami ini menjadi beban atau tekanan buat atlet,” jelas Hayati kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, Nurhayati turut mengesahkan jawatan ketua jurulatih kebangsaan kini disandang bekas jaguh lompat kijang negara, Zaki Sadri bagi menggantikan tempat ditinggalkan Manshahar Abdul Jalil.
Atlet lompat bergalah negara, Nur Sarah Adi juga menerima khabar gembira dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA apabila bakal dibimbing oleh bekas jaguh Asia, Roslinda Samsu.